Penyerang Barcelona, Ousmane Dembele dalam salah satu aksi LaLiga. FOTO Reuters
Penyerang Barcelona, Ousmane Dembele dalam salah satu aksi LaLiga. FOTO Reuters
Reuters

Madrid: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berkata penyerangnya, Ousmane Dembele harus memperbaharui kontrak atau kelab Sepanyol itu akan menjual pemain kebangsaan Perancis berkenaan pada jendela perpindahan bulan ini.

Dembele yang menyertai Barcelona dari Borussia Dortmund pada 2017 dalam perjanjian bernilai sekitar 105 juta Euro (RM498.8 juta) dijangka tamat kontrak pada penghujung Jun depan.

Aksi penyerang itu di Camp Nou sering dibayangi dengan kecederaan, bagaimanapun pemain berusia 24 tahun itu meledak 31 gol dalam 129 perlawanan di semua kejohanan.

Barcelona dikatakan mengadakan perbincangan bersama Dembele mengenai usaha perbaharui kontrak untuk beberapa bulan tetapi ianya belum mencapai sebarang persetujuan.

"Sama ada pemain perbaharui kontrak atau kami menunjukkan jalan keluar buat pemain - tiada sebarang kemungkinan lain," kata Xavi.

"Dia mahu kekal tetapi tiada persetujuan dicapai jadi kami harus mengambil keputusan bagi pihak kelab. Ia sama ada perbaharui atau memilih jalan keluar.

"Agak memalukan. Dia beraksi hampir setiap minit sejak saya menjadi jurulatih."

Barcelona berada di kedudukan keenam LaLiga. Mereka akan berdepan Athletic Bilbao dalam saingan 16 terakhir Piala Raja Sepanyol, awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 11:55 AM