KEANE (tengah) meraikan jaringan penyamaan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
KEANE (tengah) meraikan jaringan penyamaan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Everton berjaya kongsi mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas bangkit dari ketinggalan satu gol untuk mengalahkan Burnley 3-1.

Ben Mee meletakkan pasukan pelawat di depan di Goodison Park sebelum tiga gol dihasilkan dalam tempoh enam minit selepas sejam aksi berlangsung bagi membolehkan Rafael Benitez meneruskan permulaan cemerlang sebagai pengurus Everton.

Tandukan Michael Keane menentang kelab lamanya berjaya menyamakan kedudukan sebelum dua pemain yang ditandatangani oleh Benitez, Andros Townsend dan Demarai Gray mengubah kedudukan.

The Toffees sekarang ini mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan pembukaan liga di bawah jurulatih kelahiran Sepanyol itu bagi berkongsi mata dengan seteru setempat, Liverpool, Chelsea dan pendahulu, Manchester United.

Kebangkitan Everton sangat mengagumkan selepas mereka berjaya mengatasi masalah kehilangan Dominic Calvert Lewin.

Benitez mengesahkan sebelum sepak mula pemain antarabangsa England itu tidak dapat beraksi sehingga Oktober selepas mengalami kecederaan patah jari kaki dan pangkal paha.

Pasukan tuan rumah kelihatan tumpul di depan gol di awal permainan selepas ketiadaan Calvert Lewin sehingga membolehkan Burnley beraksi dengan baik pada separuh masa pertama.

"Reaksi yang diberikan oleh pemain, tidak kisah dengan apa cara sekali pun, adalah sangat bagus.

"Anda juga dapat melihat sendiri reaksi penyokong, terutama ketika melakukan serangan, mereka sentiasa berada di belakang pasukan," kata Benitez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 9:00 AM