ALEX Ferguson. FOTO AFP
ALEX Ferguson. FOTO AFP
Agensi

London: Bekas pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson mendakwa Tottenham tidak akan berpeluang memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ange Postecoglou menerima pujian sejak dilantik sebagai pengurus Tottenham pada musim panas lalu selepas meninggalkan Celtic.

Spurs, yang berada di tangga teratas pada Oktober lalu, kini berada di tempat keempat liga tetapi Ferguson merasakan mereka tidak akan mampu memenangi kejuaraan.

Kali terakhir Tottenham memenangi kejuaraan liga adalah pada kempen 1960-61, ketika Bill Nicholson membimbing pasukan itu.

Ferguson memenangi kejuaraan liga sebanyak 13 kali sebagai pengurus United sebelum bersara pada 2013 selepas karier yang cemerlang.

Ditanya sama ada Tottenham akan memenangi Liga Perdana, Ferguson menjawab dengan berkata 'Tidak' sebelum ketawa.

Ferguson menambah: "1961 adalah kali terakhir mereka memenanginya. Itu sudah terlalu lama. Liverpool dan Man City pula begitu kuat pada masa sekarang."

Legenda berusia 82 tahun itu ditemu bual di padang lumba Newbury, di mana kudanya yang bernama Protektorat mendapat tempat ketiga di perlumbaan Betfair Denman Chase.

Ditanya adakah Tottenham lebih berpeluang memenangi kejuaraan liga berbanding United, Ferguson berkata: "Tidak mungkin."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 6:26 PM