ANNAS tonggak utama NSFC.
ANNAS tonggak utama NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berjaya membantu mengembalikan semula reputasi Negeri Sembilan FC (NSFC), pemain tengah berpengalaman, Annas Rahmat mahu memastikan Negeri Sembilan kekal cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Annas, antara tonggak penting skuad Hobin Jang Hobin menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu, sekali gus membawa skuad berkenaan bersaing di Liga Super musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu jelas optimis Negeri Sembilan berupaya memberikan saingan dan cabaran lebih bermakna pada saingan berprestij itu.

"Menerusi perubahan besar dilakukan pengurusan kelab dengan membawa masuk beberapa pemain berpengalaman dan muda, menunjukkan pihak pengurusan komited dalam misi mempertahankan reputasi pasukan.

"Persiapan agresif dari semua sepak itu menambah lagi keyakinan semua pemain untuk memberikan fokus kepada usaha memantap dan memperkasakan pasukan.

"Tambahan pula, cabaran dalam Liga M musim ini lebih mencabar apabila saingan Piala FA bakal kembali semula selain cabaran Liga Super dan Piala Malaysia itu sendiri," katanya hari ini.

Annas yang pernah beraksi bersama beberapa kelab lain termasuk Melaka United FC dan Petaling Jaya City FC (PJ City), antara lapan pemain musim lalu yang dikekalkan dalam pembentukan skuad baharu musim ini.

Katanya, fokusnya ketika ini ke arah membentuk kombinasi mantap bersama pemain baharu. Dia juga gembira apabila suasana dalam pasukan begitu positif sejak tiga minggu menjalani latihan.

"Saya berharap mendapat minit permainan lebih baik dan kekal dalam kesebelasan utama musim ini. Sasaran saya untuk membantu memastikan pasukan terus kekal dalam saingan Liga Super untuk beberapa tahun yang mendatang.

"Pengalaman 2018 diharap tidak akan berulang apabila Negeri Sembilan gagal mengekalkan rentak cemerlang dalam Liga Super apabila kembali turun ke Liga Perdana tahun berikutnya," katanya.

Difahamkan sehingga kini NSFC sudah melengkapkan senarai pemain tempatan manakala turut mengikat dua pemain import iaitu iaitu Herold Goulon, 33, dari Perancis, yang pernah beraksi bersama Sri Pahang FC dan muka baharu, David Gordon Mawutur, 29, dari Ghana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:35 PM