Annas Rahmat antara tonggak pertahanan NSFC. FOTO Ihsan NSFC
Annas Rahmat antara tonggak pertahanan NSFC. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kekuatan bahagian pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang menampil barisan pemain berpengalaman, antara faktor membantu skuad itu berhadapan dengan pasukan Liga Super, pada kempen saingan Piala Malaysia, bermula Ahad ini.

NSFC mempertaruhkan gandingan Annas Rahmat, Arthur Cunha Rocha dan Nasrullah Haniff Johan di bahagian pertahanan tengah manakala R Aroon Kumar dan Mohamad Zamri Ramli, masing-masing di sebelah kanan dan kiri.

Kekuatan yang dibentuk lima pemain ini selain Damien Lim selaku penjaga gawang, harus mampu menyekat pergerakan dan serangan pemain pasukan lawan apabila saingan Kumpulan C, bermula Isnin ini.

Annas akui persefahaman antara mereka amat baik selain sentiasa berusaha mengekalkan disiplin yang tinggi dalam setiap perlawanan kerana sedar mereka adalah nadi kepada kekuatan skuad Hobin Jang Hobin.

"Kami sentiasa berusaha membentuk keserasian dan persefahaman yang baik bagi membina kekuatan kerana bahagian pertahanan antara entiti penting dalam sesebuah pasukan.

"Setiap arahan diberikan jurulatih perlu dilaksanakan dengan baik dan yang penting pastikan bahagian pertahanan berfungsi sepenuhnya bagi menyekat serangan pemain lawan," katanya.

Annas berkata, dia dan rakan sepasukan akan terus berusaha memantapkan lagi persembahan bagi membolehkan pasukan memberikan saingan terbaik dalam merebut trofi berprestij itu.

Pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan cabaran saingan dalam Kumpulan C yang membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Melaka United FC (MUFC) dan satu lagi pasukan dari Liga Perdana yang belum ditentukan, bukan mudah.

"Kumpulan C tetap mencabar dan semua tahu, Kedah bukan calang pasukan kerana mereka tampil selaku naib juara Liga Super manakala Melaka United juga ada kekuatan yang tersendiri dan beraksi baik dalam liga.

"Namun begitu, kita (NSFC) ada pengalaman bertemu Kedah dalam kempen Piala Malaysia sebelum ini dan saya yakin pasukan boleh berikan saingan terbaik serta berupaya mencapai keputusan positif," katanya.

Annas berkata bagi perlawanan pertama bertemu Melaka United nanti, NSFC perlu menang bagi mendapatkan tahap keyakinan lebih tinggi sebelum berhadapan aksi berikutnya.

Annas antara pemain muda yang berjaya dilahirkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan dia mula mendapat pendedahan selepas menyertai skuad Piala Presiden negeri itu.

Bekas pemain skuad Harimau Muda B itu pernah bersama Negeri Sembilan dari 2016 hingga 2017 sebelum berpindah menyertai PKNS FC pada 2018 dan kemudiannya meneruskan kariernya dengan menyertai Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 5:03 PM