TORRES ketika diperkenalkan secara rasmi di Nou Camp.
TORRES ketika diperkenalkan secara rasmi di Nou Camp.
AFP

Madrid: Pemain baharu Barcelona, Ferran Torres dan rakan sepasukan, Pedri dijangkiti Covid-19, umum kelab itu dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

"Pedri dan Ferran Torres disahkan positif Covid-19. Kedua-dua pemain dalam keadaan baik dan kini menjalani kuarantin di rumah masing-masing," kata Barca.

Torres berpindah dari Manchester City minggu lalu dan diperkenalkan ketika sidang media di Camp Nou hanya beberapa jam sebelum disahkan positif Covid.

Pemain tengah Pedri, 19, menjadi tonggak Sepanyol yang mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah dan meraih Trofi Kopa sebagai pemain terbaik bawah 21 tahun di Ballon d'Or pada November.

Dua kes positif terbaru itu memberikan tamparan hebat kepada kelab Catalan, senasib dengan beberapa kelab La Liga lain yang turut dilanda Covid.

Jurulatih Xavi Hernandez gagal dalam usahanya yang mahukan aksi menentang Mallorca semalam ditunda susulan kehilangan 17 pemain termasuk 10 daripadanya dijangkiti Covid.

Namun Barca masih mampu menang 1-0 untuk melonjak ke tangga kelima, 15 mata di belakang pendahulu Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 9:04 AM