YOSHIDA tetap berbangga dengan aksi pemain yang sudah berusaha sehabis mungkin. FOTO Ihsan ESPN Asia
YOSHIDA tetap berbangga dengan aksi pemain yang sudah berusaha sehabis mungkin. FOTO Ihsan ESPN Asia
Firdaus Hashim


Singapura: "Saya bukan Pep Guardiola. Saya Tatsuma Yoshida dari Jepun tetapi saya bangga dengan Singapura".

Itu kata Yoshida selepas melihat anak buahnya tumbang 0-2 di tangan Thailand pada aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala AFF semalam.

Jelasnya, walaupun Singapura tewas kepada skuad Gajah Perang, beliau tetap berbangga dengan aksi pemain yang sudah berusaha sehabis mungkin dalam perlawanan itu.

"Kami dalam 'perjalanan' biarpun bukan pasukan top, tetapi kami ke separuh akhir untuk kali pertama dalam tempoh sembilan tahun.

"Jika ada apa-apa yang dipersalah ia sepatutnya kepada saya. Saya bukan Pep Guardiola. Saya Tatsuma Yoshida dari Jepun tetapi saya bangga dengan Singapura. Saya sayang Singapura dan sekarang saya mahu menangis," katanya.

Singapura dan Thailand yang sudah menempah tiket ke separuh akhir lebih awal berentap di Stadium Nasional Singapura semalam bagi menentukan juara kumpulan.

Harapan peminat tuan rumah untuk melihat skuad kendalian Yoshida mengekalkan rekod tanpa kalah musnah apabila dua jaringkan menerusi Elias Dolah dan Supachai Jaided sudah cukup untuk menewaskan Singapura.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Alexandre Polking memuji aksi anak buahnya biarpun hanya membariskan skuad kedua dalam perlawanan itu.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan dan strategi yang kami buat.

"Kami sedar, sesuatu yang berisiko kerana membuat pertukaran pemain terlalu ramai tetapi mereka telah berusaha keras ketika latihan dan berhak diberi peluang, malah ia memberi sesuatu yang segar untuk separuh akhir nanti," kata Polking.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:29 PM