ERIKSEN (tengah) tidak boleh beraksi di Itali kerana jantungnya dipasang dengan alat pacu. FOTO AFP
ERIKSEN (tengah) tidak boleh beraksi di Itali kerana jantungnya dipasang dengan alat pacu. FOTO AFP
AFP

Rom: Christian Eriksen menamatkan kontraknya dengan Inter Milan hasil persetujuan bersama enam bulan selepas mengalami insiden serangan jantung ketika bermain untuk Denmark di Euro tahun ini.

Pemain berusia 29 tahun itu dipasang alat pacu jantung, ini bermakna dia tidak boleh beraksi di Itali namun kejohanan lain tidak mempunyai peraturan yang sama.

"Internazionale Milano boleh mengesahkan bahawa keputusan sudah dicapai untuk menamatkan kontrak Christian Eriksen hasil persetujuan bersama.

"Walaupun Inter dan Christian kini berpisah, ikatan itu tidak akan pernah putus. Saat manis bersama, jaringan, kemenangan, sambutan Scudetto dengan peminat di luar San Siro - semua ini akan kekal selama-lamanya dalam sejarah Nerazzurri," kata kelab berkenaan.

Eriksen kini bebas untuk mempertimbangkan pilihannya dengan kelab lain, dan baru-baru ini menjalani latihan dengan pasukan zaman kanak-kanaknya, Odense.

Menurut Danish Daily BT, Eriksen memberi tumpuan terutamanya kepada latihan fizikal, tetapi tetap berlatih di atas padang, walaupun pada masa ini dia tidak bertujuan untuk bermain dengan kelab itu.

"Christian Eriksen menggunakan padang untuk pemulihannya tetapi dia tidak berlatih dengan pasukan kami," kata pegawai komunikasi Odense, Rasmus Nejstgaardhad kepada AFP.

Bekas pemain Tottenham itu mengalami serangan jantung pada perlawanan pembukaan Denmark di Euro 2020 menentang Finland di Copenhagen pada 12 Jun lalu dan terpaksa diberikan rawatan segera di atas padang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 12:40 PM