CHRISTIAN Eriksen mengalami serangan jantung ketika Denmark menentang Finland di perlawanan pembukaan Euro 2020 di Copenhagen. FOTO AFP
CHRISTIAN Eriksen mengalami serangan jantung ketika Denmark menentang Finland di perlawanan pembukaan Euro 2020 di Copenhagen. FOTO AFP
AFP

Rome: Christian Eriksen berjumpa rakan sepasukannya di Inter Milan buat kali pertama, hari ini, selepas mengalami serangan jantung di Euro 2020, Jun lalu.

Dalam satu kenyataan, Inter menyatakan Eriksen, 29, melawat pusat latihan juara Serie A itu di Appiano Gentile di luar Milan, pagi hari ini.

"Pemain tengah Denmark itu berjumpa pengarah kelab, jurulatih, rakan sepasukan dan semua staf pasukan. Eriksen semakin sihat dan berada dalam keadaan fizikal serta mental unggul," kata Inter.

"Dia kini mengikuti program pemulihan dilakukan doktor skuad Denmark di Copenhagen, yang turut menguruskan ujian susulan klinikal.

"Staf perubatan Inter akan berhubung rapat dan dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai proses itu."

Eriksen rebah di padang di hujung babak pertama perlawanan pembukaan Denmark menentang Finland di Euro 2020, dan dia terselamat menerusi tindakan pantas rakan sepasukan dan staf perubatan pasukan Denmark.

Masa depannya di Inter masih belum ditentukan kerana pemain yang memiliki alat bantuan jantung, tidak dibenarkan bermain di Itali, tidak sama dengan peraturan negara lain.

Ujian akan dilakukan sama ada alat berkenaan boleh dibuka atau sebaliknya, sekali gus membolehkan dia terus bermain dengan Inter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 9:54 PM