Penjaga gol Watford, Daniel Bachmann cuba menyelamatkan gawang ketika bertemu Brentford. FOTO AFP
Penjaga gol Watford, Daniel Bachmann cuba menyelamatkan gawang ketika bertemu Brentford. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Watford, Claudio Ranieri berkata pasukannya perlu belajar berjuang untuk terus kekal dalam saingan Liga Perdana selepas membiarkan gawang dibolosi sebanyak dua kali pada enam minit terakhir dan menyaksikan mereka tewas 1-2 di Brentford awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Ranieri mencerahkan peluang untuk mencipta enam mata dari zon penyingkiran meledakkan gol pertama menerusi Emmanuel Dennis pada pertengahan babak pertama.

Namun mereka gagal untuk mempertahankan kedudukan itu yang menyaksikan Watford mencatatkan enam kekalahan dari tujuh perlawanan liga.

"Ia adalah peluang yang terlepas," kata Ranieri. "Kami tahu ia adalah perlawanan penting.

"Pasukan Brentford sudah bersedia untuk bertempur dan beberapa pemain saya tidak. Setiap situasi sangat penting dan kami harus lebih bijak."

Walaupun tanpa tonggak penyerang, Ivan Toney yang diuji positif Covid-19, skuad Bees menukar rentak pada penghujung saingan.

Kapten Brentford, Pontus Jansson menanduk masuk gol pertamanya buat kelab hasil hantaran lintang Marcus Forss.

Pemain gantian, Saman Ghoddos kemudian mengumpan buat William Troost-Ekong yang dikasari dalam kotak penalti pada minit akhir perlawanan.

Bryan Mbuemo mengambil tugas penalti tanpa kehadiran Toney dan tenang memperdaya Daniel Bachmann bagi memastikan kemenangan kedua Brentford dalam sembilan saingan liga.

Skuad kendalian Thomas Frank naik ke kedudukan kesembilan, 10 mata di luar zon penyingkiran dalam musim pertama mereka di liga utama England dalam tempoh 74 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 8:06 AM