Pemain Norwich City, Josh Sargent (kiri) meledak dua gol ketika berdepan Watford. FOTO Reuters
Pemain Norwich City, Josh Sargent (kiri) meledak dua gol ketika berdepan Watford. FOTO Reuters
AFP

Watford, United Kingdom: Norwich keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana buat pertama kali musim ini ketika dua gol Josh Sargent membantu mereka menewaskan Watford 3-0 di Vicarage Road, pagi ini.

Watford yang menamatkan permainan dengan 10 pemain jatuh dalam kelompok tiga terbawah ketika beraksi sembilan perlawanan berturut-turut tanpa menang seterusnya menambah tekanan buat pengendalinya, Claudio Ranieri.

Sargent tidak menjaringkan gol di peringkat liga sejak perpindahan pada Ogos dari Werder Bremen tetapi beraksi baik buat skuad Canaries untuk mengelak penyingkiran.

"Untuk menjaringkan gol pertama dan kemudian gol kedua peribadi adalah sangat hebat," kata Sargent.

"Ia adalah perlawanan penting buat kami jadi ia adalah malam yang cukup hebat secara keseluruhannya.

"Setiap perlawanan adalah sangat penting buat kami tetapi untuk mencatat kemenangan berdepan lawan sukar buat kami ia adalah kemenangan besar."

Sargent meledak gol pembukaan selepas enam minit babak kedua permainan sebelum menambah jaringan kedua menerusi umpanan Milot Rashica.

Watford berdepan nasib malang apabila penjaring terbanyak mereka, Emmanuel Dennis diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.

Pemain Nigeria itu bernasib baik tidak dihukum dengan kad merah apabila diberikan amaran kad kuning berikutan kekasaran dilakukan ke atas Pierre Lees-Melou dan tidak membantah selepas sekali lagi melakukannya pada Max Aarons.

Dennis akan terlepas aksi penting bagi mengelak penyingkiran menentang Burnley pada 5 Februari.

Jaringan sendiri Juraj Kucka pada masa kecederaan menambah derita skuad Hornets.

Norwich melonjak dua mata daripada zon penyingkiran tetapi tiga pasukan di kelompok terbawah mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 7:34 AM