Melaka United akur kekalahan kepada KL City FC. FOTO Syafeeq Ahmad
Melaka United akur kekalahan kepada KL City FC. FOTO Syafeeq Ahmad
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan mengakui rasa terkilan selepas pasukannya yang bermain begitu baik dan menguasai hampir keseluruhan perlawanan akhirnya tewas menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 kepada Kuala Lumpur City (KL City) sekali gus menyekat hasrat mara ke final Piala Malaysia selepas 100 tahun.

Namun di sebalik kekecewaan itu, dia puas melihat anak buahnya melakukan gerakan dan mencipta deretan peluang ke muka gawang pelawat sepanjang 120 minit aksi berbanding pasukan lawan.

Katanya, perlawanan malam tadi jelas bukan milik Melaka, kerana nasib dan rezeki tidak bersama pasukan selepas pemain bermain dengan baik dengan mencipta banyak peluang namun gol yang dicari selepas terikat 1-1 tidak berhasil sehingga aksi terheret ke sepakan penalti.

Menurutnya, gangguan teknikal yang menyebabkan bekalan elektrik terputus dan penangguhan sejam perlawanan dan bermain untuk dua hari bukan alasan kekalahan walaupun tumpuan pemain sedikit terjejas.

Sebaliknya, pemain Melaka tetap memberi yang terbaik dengan habis-habisan dan keseluruhannya dia amat berpuas hati menerusi gerakan pasukan termasuk fokus pemain ketika penentuan sepakan penalti.

"Mereka melakukan sepakan penalti yang menuju sasaran, namun sepakan Giovane Gomes terkena palang gol dan melantun keluar. Inilah penentuan yang jelas bukan malam buat kami.

"Gomes menangis kerana gagal melakukan penyudahan berkenaan, namun kami menerima hakikat sebenar yang bukan nasib Melaka ke final untuk mencipta sejarah baharu," katanya.

Zainal berkata, pasukan terbabit kini sudah memiliki bentuk dan corak permainan yang baik , justeru apa yang penting untuk terus mengekalkan rentak berkenaan bagi memastikan skuad Hang Tuah terus dihormati.

Beliau berkata, membentuk pasukan bukan dalam masa yang singkat termasuk pertukaran pemain, kecederaan dan keserasian tetapi kini sentuhan itu sudah berjaya ditemui pada penghujung saingan saingan Piala Malaysia musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 1:05 PM