JANG Suk-won. -FOTO MU
JANG Suk-won. -FOTO MU
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemain pertahanan Melaka United (MU) kelahiran Korea Selatan, Jang Suk-won menganggap pasukannya kini berada pada tahap paling positif menanti saingan getir Kuala Lumpur City (KL City) pada pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.

Katanya, dia dapat merasakan Melaka juga berada dalam situasi terbaik untuk melangkah ke final menerusi persefahaman yang amat meyakinkan untuk berdepan lawan yang hadir bagi memadamkan kelebihan jaringan pasukan selepas mengikat kedudukan 1-1 di Cheras sebelum ini.

Justeru, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mencipta persembahan yang meyakinkan bagi melepasi halangan itu untuk mara ke final.

Malah secara peribadi dia juga seperti rakan yang lain ingin menyumbang sejarah baharu pasukan Hang Tuah dengan beraksi di pentas final serta menjuarai Piala Malaysia.

"Apapun KL City juga memiliki barisan mantap malah mempunyai gaya dan corak permainan yang hampir sama dengan kami. Mereka tersusun dengan pergerakan yang agresif dan memiliki stamina yang baik, namun kami dapat menilai mereka menerusi aksi liga dan perlawanan di Cheras.

"Kami juga bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan kerana api perjuangan amat menebal dalam dada setiap pemain untuk melakar kejayaan yang membanggakan. Justeru paling utama pada 90 minit kali ini kami perlu kental fokus ketika bertahan dan menyerang," katanya.

Menurutnya, pelbagai detik sukar sepanjang tiga musim bersama pasukan terbabit namun kini dapat merasai tenaga positif dan semangat yang meyakinkan daripada semua orang di sekelilingnya untuk mengharungi pertemuan dengan skuad Warga Kota terbabit.

Suk-won berkata, sokongan penonton juga jelas memberi suntikan motivasi buat Melaka untuk memastikan kenangan manis dapat diperolehi pada perlawanan di laman sendiri itu kelak.

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua peminat, pengurusan dan semua yang sentiasa menceriakan kami dengan senyuman dan kata-kata semangat.

"Sudah pasti keazaman kami kali ini untuk menyumbang kepada sejarah baharu bola sepak Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 3:06 PM