JANG Suk-Won. FOTO Melaka United
JANG Suk-Won. FOTO Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemain pertahanan Melaka United FC (MUFC) dari Korea Selatan yang bakal menyarung jersi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Jang Suk Won menganggap skuad Hang Tuah sebahagian kerjaya bola sepaknya.

Katanya, dia amat menghargai dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Melaka United (MU) kerana memberinya peluang untuk beraksi sekali gus menjadi sebahagian daripada keluarga yang juga panggil `rumah' buat dirinya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, jurulatih Zainal Abidin Hassan dan lain-lain yang meletakkan kepercayaan kepada saya. Dari lubuk hati saya, hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukurnya saya untuk ini.

"Tiga tahun yang indah di MU, ada naik dan turun tetapi bagi saya ia adalah sebahagian daripada kerjaya bolasepak saya. Saya gembira untuk mengharungi setiap perlawanan bersama keluarga saya," katanya katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik Melaka United FC.

Suk Won berkata, dia percaya perjalanannya di Melaka sudah pun berakhir dan tiba masanya untuk cabaran dan pengembaraan baharu.

Bagaimanapun dia memohon maaf kerana tidak mengucapkan selamat tinggal kepada pengurusan, kakitangan kejurulatihan, pemain dan penyokong pasukan terbabit.

"Saya tidak tahu, ia berlaku secara tiba-tiba dan saya tidak mempunyai sebarang saluran untuk menyatakannya.

"Saya tidak mempunyai sebarang platform media sosial jadi saya tidak pasti bagaimana untuk menyatakan perpisahan dan rasa terima kasih saya. Sepanjang hidup saya, saya memberikan segalanya untuk bolasepak.

"Kadangkala saya rasa media sosial boleh mengganggu prestasi saya. Saya menjauhinya supaya ia tidak mengganggu prestasi saya di dalam dan di luar padang.

"Akhir sekali saya ingin menyatakan betapa bertuahnya saya selama tiga tahun ini. Tiada apa di dunia ini boleh mengubah perasaan ini. Jersi hijau dan logo ini akan sentiasa mendapat tempat istimewa di hati saya. Mungkin pada masa akan datang kita akan bertemu lagi dan saya gembira untuk kembali lagi ke Melaka," katanya.

Suk Won yang juga bekas pelatih skuad kebangsaan Korea Selatan bawah 20 dan 23 tahun pernah mewakili pasukan Seongnam FC di negaranya dan Fagiano Okayama di Jepun.

Sebelum ini pemain pertahanan kental itu antara pemain import pertama diumumkan Kedah Darul Aman untuk menabur bakti dengan pasukan itu bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 10:42 PM