PEMAIN Sabah FC, Taesu Park (tiga kanan) diasak pemain Melaka United FC. FOTO Syafeeq Ahmad
PEMAIN Sabah FC, Taesu Park (tiga kanan) diasak pemain Melaka United FC. FOTO Syafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kejayaan Melaka United (MU) menyamai sejarah mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas 38 tahun menyaksikan jurulatihnya, Zainal Abidin Hasan mahu melakar pencapaian lebih baik dengan membawa pasukan itu ke final.

Baginya itulah idamannya, pemain pengurusan dan penyokong yang mahu memastikan kejayaan lebih manis Melaka pada kali ini walaupun pada awalnya skuad terbabit dilabel sebagai underdog.

Katanya, pasukan sebenarnya tidak dapat memperolehi momentum positif di saingan awal liga namun mereka mula membentuk persefahaman jitu pada penghujung saingan dan melonjak ketika peringkat kumpulan C sebelum aksi cemerlang menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Hang Jebat pada saingan peringkat kedua suku akhir malam tadi.

Gol kemenangan Melaka diperolehi menerusi Andrioano dan Sony Norde sementara jaringan Sabah menerusi sepakan penalti kapten pasukan, Risto Mitrevski.

Malah kejayaan mara dengan agregat 3-1 itu menyaksikan mereka menyamai sejarah 1983 yang ketika itui dibarisi Datuk Soh Chin Aan, Ramli Junit, Lim Chuan Chin, Azmi Hassan, Hashim Maraman, Rahim Abdullah Hashim Marman dan Wou Kou Fou.

"Sememangnya mara ke final menjadi idaman kami, pemain dan penyokong sekali gus saya mengharapkan mereka mampu mencipta sejarah layak ke final pada kali ini.

"Bagaimanapun lawan yang akan ditemui iaitu Kuala Lumpur City juga bukan mudah kerana rekod bersih mereka yang baik," katanya.

Kejayaan itu menolak desakan segelintir penyokong yang mahu Zainal diganti namun sokongan pengurusan akhirnya membolehkan dia membentuk pasukan yang menyakinkan.

Zainal berkata, bagi membentuk pasukan memerlukan masa justeru dia melihat Melaka kini memiliki masa depan yang baik untuk lebih menyerlah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 12:16 PM