PAN-gon ketika sesi latihan Harimau Malaya pada Mac lalu.
PAN-gon ketika sesi latihan Harimau Malaya pada Mac lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jadual skuad Harimau Malaya boleh dikatakan sibuk dalam tempoh lima bulan akan datang apabila bakal mengharungi kejohanan empat penjuru di Thailand dan perlawanan persahabatan.

Dua saingan terbabit boleh dikatakan cukup penting dalam memastikan skuad Harimau Malaya kekal aktif dan sentiasa dalam 'mood' bersedia menjelang aksi Piala AFF dan Asia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar berkata, perlawanan empat penjuru terbabit bukanlah 'cap ayam' sebaliknya membarisi pasukan yang berada di ranking lebih baik daripada skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, antara pasukan yang kemungkinan menyertainya adalah bertaraf Asia, Timur Tengah dan Amerika Latin.

"Kita bermain dengan pasukan yang lebih baik daripada skuad Harimau Malaya. Mengenai perkara itu kita akan berbincang dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkaitan persediaan pasukan.

"Pada masa sekarang, kami tidak boleh membuat pengumuman mengenai pasukan terbabit kerana mahu beri laluan kepada tuan rumah manakala tempat pula sama ada di Hatyai atau Pattaya, Thailand.

"Perlawanan persahabatan pula, kita akan mengadakannya di dalam negara pada November depan manakala pasukan yang bakal datang ke Malaysia akan diumumkan kelak," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma FAM, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai venue yang bakal digunakan untuk perlawanan persahabatan memandangkan Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup untuk proses penambahbaikan, Saifuddin berkata, perkara terbabit masih terlalu awal untuk diputuskan ketika ini dan akan menilai stadium yang bersesuaian kelak. Selain itu, FAM juga akan mengadakan perbincangan bersama Pan-gon sama ada mahu mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara dalam usaha memantapkan lagi skuad Harimau Malaya.

"Setakat ini, kita lihat terlebih dahulu tarikh perlawanan Piala Asia sama ada Jun tahun depan atau berlangsung pada 2024 sebelum merancang untuk mengadakan kem latihan di luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 6:24 PM