PIQUE meraikan jaringannya. FOTO AFP
PIQUE meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Gerard Pique menghidupkan kembali kempen Liga Juara-Juara untuk Barcelona apabila meledak gol tunggal ketika menewaskan Dynamo Kiev 1-0, kemenangan yang disaksikan oleh hanya setengah penyokong memenuhi Camp Nou.

Seramai 45,968 kehadiran penyokong direkodkan dengan hanya beberapa tempat duduk dipenuhi untuk menyaksikan perlawanan yang jurulatih Ronald Koeman tegaskan perlu menang bagi mencerahkan peluang mara ke pusingan 16 terakhir.

Selepas tewas 0-3 kepada Bayern Munich dan Benfica pada dua perlawanan pertama Kumpulan E, Barcelona memerlukan kemenangan untuk menghidupam peluang melangkah ke pusingan seterusnya.

Ia sekali gus bagi mengelak aib tersingkir awal di peringkat kumpulan buat kali pertama sejak tahun 2000.

Pique memastikan kemenangan Barcelona menerusi gol minit ke-36 dan mereka bakal berdepan Kiev sekali lagi di tempat lawan dalam tempoh dua minggu lagi.

Sebelum itu, mereka akan bertemu Real Madrid terlebih dahulu dan sekiranya melakar kemenangan lagi, ia akan menjadi minggu yang positif untuk Koeman yang masa depannya terancam selepas tewas kepada Atletico Madrid sebelum tempoh rehat antarabangsa.

Perlawanan itu juga akan berlangsung di Camp Nou sekali gus dapat menyaksikan sama ada kehadiran jumlah penyokong Barcelona akan meningkat.

Kejayaan Pique menjaringkan gol menyaksikannya pemain tertua Barcelona dapat meledak gol di Liga Juara-Juara pada usia 34 tahun dan 260 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 8:32 AM