AKSI  Araujo (dua dari kiri) meledak gol penyamaan di  Camp Nou. FOTO EPA
AKSI Araujo (dua dari kiri) meledak gol penyamaan di Camp Nou. FOTO EPA
AFP

Madrid: Ronald Koeman mempertahankan taktiknya selepas didakwa 'mengkhianati' corak tradisi serangan Barcelona ketika seri 1-1 dengan Granada di tempat sendiri awal pagi tadi.

Koeman membawa masuk Gerard Pique daripada bangku simpanan di Camp Nou dan beraksi di bahagian depan bersama Luuk de Jong dengan Ronald Araujo, seorang lagi pertahanan turut memperkuatkan serangan yang menyaksikan Barca membuat 54 hantaran dalam usaha mencari gol penyamaan.

Araujo akhirnya menanduk masuk pada masa kecederaaan selepas Domingos Duarte meletakkan Granada di depan tetapi keputusan seri itu tidak memuaskan hati penyokong.

"Kami menukar sedikit cara kami," kata Koeman. "Terdapat ruang lebih luas tetapi tidak di bahagian tengah. Kami ada Pique, De Jong dan Araujo. Salah satu hantaran itu menghasilkan gol.''

Kedudukan Koeman mulai goyah selepas tewas 0-3 di tempat sendiri kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara yang menyaksikan pasukannya gagal meledak walau satu percubaan tepat.

Seri menentang Granada menyebabkan penyokong lebih marah bukan kerana keputusan tetapi corak permainan Barca.

"Jika anda melihat senarai pemain, apa anda lakukan? Corak tiki-taki? Tiki-taki apabila tidak ruang?" kata Koeman.

"Kami lakukan apa yang kami perlu lakukan. Kami cuba menang dengan cara lain. Kami tiada pemain satu awasi satu atau dengan kelajuan. Saya tak mahu bercakap lebih lagi kerana nampaknya saya perlu terangkan kesemuanya.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 8:02 AM