PEMAIN negara memanaskan badan ketika sesi latihan di Amman, Jordan. FOTO FAM
PEMAIN negara memanaskan badan ketika sesi latihan di Amman, Jordan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menyedari betapa besarnya ujian yang bakal ditempuhi skuad Harimau Malaya apabila turun menentang Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan malam esok, perubahan besar dari segi taktikal bertahan akan digunakan bagi memastikan gawang negara tidak mudah dibolosi.

Pendekatan itu dikongsikan pengendali negara, Tan Cheng Hoe yang mengakui sedar ketajaman jentera serangan Uzbekistan diterajui pemain berpangkalan di Eropah terutama pemain AS Roma, Eldor Shomurodov.

"Kalau kita lihat dari segi serangan keseluruhan Uzbekistan memberi kita satu gambaran yang mereka mempunyai serangan terbaik...barisan serangan seperti pemain yang beraksi di AS Roma dan dua hingga tiga pemain lagi beraksi di luar negara.

"Memang nampak ada kelebihan dan juga ada kualiti tersendiri, itu sebab untuk perlawanan esok kita perlu lebih fokus kepada pertahanan supaya kita tidak dibolosi dengan gol besar daripada individu.

"Kita juga perlukan kerjasama berpasukan terbaik untuk menghalang pasukan Uzbekistan menjaringkan gol, pada masa sama kita perlu menyerang juga untuk memberi tekanan kepada pihak lawan," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Aksi berdepan pasukan di ranking ke-84 dunia itu yang keenam sejak 1994 dan dalam lima pertemuan sehingga kini menyaksikan skuad negara gagal meraih sebarang kemenangan dengan tewas besar 0-5 sebanyak dua kali iaitu pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima dan Piala Asia di Kuala Lumpur pada 2007.

Manakala tiga lagi aksi turut tumbang dengan jurang besar iaitu dalam aksi persahabatan pada 1999 tewas 0-3 dan Kelayakan Piala Asia 2011 tewas 1-3 di Kuala Lumpur dan Tashkent.

Jelas Cheng Hoe, beliau turut membayangkan kemungkinan merehatkan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula dengan Syafiq Ahmad dijangka mengisi posisi serangan. Malah, bahagian tengah juga berdepan pertukaran pemain apabila tonggak tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz mengalami kecederaan ringan ketika aksi menentang Jordan Rabu lalu.

"Kita masih lagi menilai dari segi taktikal Uzbekistan. Kemungkinan kita ada set berbeza, di mana Nazmi Faiz pun mengalami kecederaan tapi kita akan lihat sama ada Nazmi sempat pulih 100 peratus menjelang esok atau tidak. Kalau dia cedera kita akan tukar dengan pemain yang mampu menggantikannya juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 6:30 PM