Pengendali PJ City FC, P Maniam. -FOTO Rizar Mohd Noor
Pengendali PJ City FC, P Maniam. -FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City FC) P Maniam menegaskan kegagalan pemain memberi tumpuan di awal lima minit aksi babak pertama menjadi punca Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil kesempatan menjaringkan gol pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Beliau berkata, sebelum permainan pemain PJ City FC sudah diingatkan untuk memberi tumpuan pada awal 15 minit perlawanan kerana tempoh itu begitu penting bagi mengimbangi corak permainan pantas skuad kendalian Benjamin Mora.

"Tapi tidak sampai minit kelima perlawanan kita beri ruang untuk pemain JDT menyusun strategi dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Gonzalo Cabrera menjaringkan gol.

"Selepas itu boleh nampak ada peningkatan ditonjolkan pemain apabila mula beri tentangan dan berjaya menyerap asakan pasukan lawan yang menguasai permainan namun mereka gagal untuk menambah gol," katanya.

Pada perlawanan itu jaringan tunggal Cabrera seawal minit keempat meranap impian skuad The Phoenix yang tampak mampu memberi saingan kepada juara Piala Malaysia 2019.

Maniam jelas berpuas hati dengan komitmen setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan itu dan menyifatkan kesungguhan mereka sepatutnya mampu untuk membawa pulang satu mata tapi nasib tidak menyebelahi PJ City FC.

Beliau juga menganggap Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi adalah pemain terbaik perlawanan itu selepas menafikan percubaan berbahaya barisan penyerang JDT dan dia selayaknya di panggil menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:12 PM