AIDIL Shahrin harap semangat pemainnya terus dikekalkan meskipun akan beraksi tanpa kehadiran penyokong menentang JDT di Stadium Darul Aman Selasa ini. FOTO Ihsan KDA FC
AIDIL Shahrin harap semangat pemainnya terus dikekalkan meskipun akan beraksi tanpa kehadiran penyokong menentang JDT di Stadium Darul Aman Selasa ini. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak menganggap keadaan menjadi bertambah sukar buat skuadnya apabila 'kehilangan' suara sorakan sokongan penyokong bagi aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di dalam Stadium Darul Aman Selasa ini.

Dibezakan hanya dengan satu mata dengan pendahulu liga iaitu JDT, pastinya misi dan impian skuad Hijau Kuning di laman sendiri kali ini mahu mengekalkan tiga mata.

Seterusnya memburu kedudukan teratas liga selepas mendapat momentum kemenangan ke atas Melaka United (MU) jumaat lalu.

"Ketiadaan penyokong yang hadir di dalam stadium kali ini sudah pasti memberi suasana berlainan dari sebelum ini untuk kami yang kini bersemangat memburu kemenangan selepas mendapat kemenangan ke atas Melaka United.

"Ini kerana setiap penyokong Hijau Kuning yang hadir ke stadium sebelum ini memberi kami motivasi serta 'tenaga' tambahan untuk berjuang sepanjang perlawanan berlangsung.

"Namun dengan ketiadaan penyokong kali ini, ia pastinya berbeza, dan kami perlu terima kenyataan yang mana sorakan mereka hanya sekadar berada 'di luar' stadium," katanya.

Aidil juga berkata skuadnya perlu menerima hakikat keadaan semasa yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan ketiadaan penyokong itu dan pada masa yang sama pemain harus kekalkan semangat dan bersikap positif dalam menerima hakikat ini.

"Apakan daya, walaupun pemain bersemangat selepas mengecapi kejayaan mendapat tiga mata di Melaka jumaat lalu, impian kami untuk mendapat sokongan pemain ke-12 pada perlawanan kali ini tidak menjadi kenyataan, namun kami tetap menerima keadaan ini dengan hati yang tabah.

"Penyokong memang sudah teruja mahu menyaksikan perlawanan bertemu JDT ini namun, sebaliknya, hanya kata-kata semangat sebelum perlawanan sahaja yang akan menjadi bekalan untuk kami bawa ke atas padang sewaktu perlawanan itu nanti.

"Saya mahu semangat dalaman setiap pemain kekal utuh dan kami mahu mencuba sebaik mungkin dalam menyempurnakan impian pasukan dan penyokong yang sentiasa berada di belakang kami," katanya.

Dalam pada itu Aidil berharap persiapan yang rapi yang sedang diatur kini dapat berjalan dengan lancar bagi melengkapkan perancangan yang disasarkan.

Larangan kemasukan penonton ke dalam Stadium Darul Aman pada perlawanan ini dikuatkuasakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah di Negeri Kedah yang turut membabitkan daerah Kota Setar dengan pelaksanaannya bermula dari 1 hingga 14 Mei 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 4:07 PM