PEMAIN Kedah akan menunggu kunjungan Selangor, esok. FOTO KDA FC
PEMAIN Kedah akan menunggu kunjungan Selangor, esok. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berazam terus fokus untuk mengekalkan momentum kemenangan pada aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Darul Aman malam esok.

Pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata, dua kemenangan yang dicapai skuad Sang Kenari ketika menewaskan Penang FC 1-0 dan juga Melaka United 3-0 menjadi bekalan terbaik skuadnya untuk memastikan rekod kemenangan dapat dikekalkan di Darul Aman.

"Fokus kami adalah untuk meneruskan momentum kemenangan seperti yang dicapai dalam dua perlawanan lalu ketika menentang Penang FC dan Melaka United.

"Kami beraksi di laman sendiri dan kami perlu memanfaatkan sepenuhnya setiap kelebihan yang ada bagi memastikan rekod kami tidak lagi tercalar.

"Jadi, pemain perlu lebih fokus di benteng pertahanan dan terus mempekemaskan jentera serangan untuk memastikan dapat menghasilkan gol pada perlawanan itu nanti," katanya.

Aidil turut mengingatkan pemainnya agar terus memperbaiki setiap kelemahan yang ada dan berwaspada dengan kebangkitan Selangor.

"Saya juga berharap pemain dapat meningkatkan lagi tahap permainan kerana kali ini kami menentang Selangor yang memilki rekod kebangkitan selepas mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dan terbaru menewaskan Sabah FC di tempat lawan.

"Selangor memiliki kreativiti serangan yang bagus dan penyerang yang laju sekali gus boleh memberi ancaman buat kami," katanya.

KDA FC kini berada pada tangga keenam dengan mengumpul 24 mata, sementara Selangor FC mengumpul 20 mata untuk berada di tangga kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 3:41 PM