IKATAN yang kuat antara Ronaldo dan United. FOTO AFP
IKATAN yang kuat antara Ronaldo dan United. FOTO AFP
AFP

London: Kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United dimaklumkan oleh kelab gergasi Inggeris pada Selasa lalu dengan kelab Liga Perdana itu mengesahkan penghijrahan itu sebelum jendela perpindahan ditutup.

United pada Jumaat lalu mengumumkan perjanjian sudah dicapai bersama Juventus untuk membawa pemenang lima kali Ballon d'Or kembali ke Old Trafford untuk bayaran yang boleh meningkat menjadi £20 juta (RM114.36 juta) bagi khidmat pemain berusia 36 tahun itu.

Kapten Portugal meledakkan 118 gol sepanjang 292 perlawanan semasa musim pertama di United, memenangi anugerah Ballon d'Or yang pertama dan Liga Juara-Juara selain tiga gelaran Liga Perdana, satu Piala FA dan dua Piala Liga.

"Impian itu 100 peratus akan menjadi kenyataan," kata Ronaldo di Instagramnya.

"Setiap orang mengenali saya, tahu mengenai cinta saya yang tidak pernah berakhir untuk Manchester United.

"Selama saya menghabiskan masa bersama kelab ini ia sangat luar biasa dan perjalanan yang kami tempuh bersama menjadi sejarah yang hebat dan menakjubkan untuk kelab ini."

Kepulangan Ronaldo memberi kesan yang mengejutkan dengan pemain Daniel James menyertai Leeds dengan nilai £25 juta (RM142.95 juta).

Penyerang Wales itu sudah memulakan dua dari tiga perlawanan Liga Perdana bersama United setakat ini namun dijangka akan bergelut untuk diturunkan apabila Ronaldo tiba dan Marcus Rashford dan Edinson Cavani kembali cergas.

James sebelum ini hampir menyertai Leeds pada Januari 2019 dari Swansea.

"Semuanya terjadi dalam tempoh satu atau dia hari terakhir," kata James. "Saya memusingkan badan dan inilah yang saya mahukan untuk terus bergerak ke depan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:45 AM