AKSI  Carvajal (kiri) meraikan jaringan di Stadium Benito Villamarin.
AKSI Carvajal (kiri) meraikan jaringan di Stadium Benito Villamarin.
AFP

Madrid: Jaringan babak kedua Dani Carvajal membolehkan Real Madrid menang 1-0 di Real Betis dan melonjak ke tangga teratas carta awal La Liga.

Madrid kini meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan susulan permulaan musim baharu meyakinkan manakala perpindahan berpotensi Kylian Mbappe memberikan mereka satu lagi lonjakan semangat sebelum tamat jendela perpindahan esok.

Ancelotti yang kembali ke kelab itu selepas peletakan jawatan Zinedine Zidane menyaksikan beberapa keputusan sukarnya berbaloi dengan Gareth Bale dan Isco kembali menyerlah.

Los Blancos tidak bermain aksi pertama musim ini di tempat sendiri sehingga 11 September selepas Santiago Bernabeu masih dalam proses ubah suai.

Tetapi mereka masih mampu mengetuai La Liga dengan mengatasi Sevilla dan Valencia menerusi perbezaan jaringan manakala Betis kekal tanpa kemenangan selepas dua kali seri.

Gol kemenangan Madrid hadir selepas satu jam perlawanan apabila hantaran Karem Benzema tepat menuju Carvajal yang meledak voli yang gagal diselamatkan penjaga gol Betis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 9:24 AM