AKSI Marcelo (tengah) ketika  Real Madrid menentang   Glasgow Rangers di Stadium  Ibrox, semalam. FOTO EPA
AKSI Marcelo (tengah) ketika Real Madrid menentang Glasgow Rangers di Stadium Ibrox, semalam. FOTO EPA
Agensi

Glasgow: Carlo Ancelotti bermula langkah sumbang apabila tewas perlawanan pertama pada musim keduanya mengendalikan Real Madrid.

Pasukan bekas pengurus Everton itu tewas 1-2 kepada kelab kendalian legenda Liverpool Steven Gerrard, Rangers di Ibrox semalam.

Rodrygo meletakkan Real 1-0 di depan selepas hanya lapan minit perlawanan bermula menerusi gerakan individu menarik dan Los Blancos bertahan sehingga tamat babak pertama.

Tetapi juara Scotland itu bangkit selepas rehat dan menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fashion Sakala pada minit ke-55.

Walaupun perlawanan itu hanyalah aksi persahabatan pra musim, pemain tengah Real Nacho dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua 20 minit kemudian.

Kelebihan itu bijak dimanfaatkan tuan rumah apabila Cedric Itten meledak gol kemenangan dua minit selepas itu dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ancelotti menurukan Isco, Marcelo dan bekas pemain pinjaman Arsenal Martin Odegaard tetapi kekuatan pasukannya tidak mencukupi untuk mencapai kemenangan.

Ancelotti yang berusia 62 tahun meninggalkan Everton menuju Bernabeu pada awal Jun lalu. Dia menggantikan legenda Los Blancos, Zinedine Zidane selepas kontraknya bersama Toffees ditamatkan.

Bekas pengendali Chelsea itu menghabiskan dua musim di Real antara 2013 hingga 2015, menang 75 peratus daripada 119 perlawanan dan memenangi Liga Juara-Juara, Piala Raja Sepanyol dan Piala Kelab Dunia sebelum dipecat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 1:57 PM