Pemain pertahanan Real Madrid dari Brazil, Marcelo menahan kesakitan pada aksi La Liga berdepan Getafe semalam. FOTO AFP
Pemain pertahanan Real Madrid dari Brazil, Marcelo menahan kesakitan pada aksi La Liga berdepan Getafe semalam. FOTO AFP
AFP

Madrid: Marcelo menjadi pemain terbaru, Real Madrid yang menyertai senarai panjang kecederaan pasukan selepas disahkan oleh kelab itu apabila dia mengalami kecederaan betis.

Pemain pertahanan dari Brazil menjadikan sembilan pemain ketika ini yang disisihkan Zinedine Zidane, yang terpaksa menyenaraikan enam pemain muda dalam pasukan ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Getafe.

Marcelo bertindak cemerlang dalam peranan baharunya sebagai pemain pertahanan sayap kiri tetapi terpaksa dikeluarkan pada babak kedua apabila berdepan kecederaan pada betis kirinya.

Dia kemungkinan terlepas perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara di Atalanta pada 24 Februari.

"Selepas keputusan ujian dikeluarkan hari ini terhadap pemain kami Marcelo oleh Khidmat Perubatan Real Madrid, dia mempunyai kecederaan pada otot di betis kiri," umum kelab itu dalam satu kenyataan.

Zidane ketika ini sudahpun tidak dapat menggunakan khidmat Sergio Ramos, Eden Hazard, Lucas Vazquez, Dani Carvajal, Fede Valverde, Eder Militao, Alvaro Odriozola dan Rodrygo.

Real Madrid berada di kedudukan kedua dalam carta La Liga, lima mata di belakang Atletico Madrid yang turut mempunyai kelebihan dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 10:26 AM