Kobe menanam azam untuk beraksi bersama skuad kebangsaan terutama membabitkan pasukan Bawah 23 tahun. FOTO Ihsan Peterborough United
Kobe menanam azam untuk beraksi bersama skuad kebangsaan terutama membabitkan pasukan Bawah 23 tahun. FOTO Ihsan Peterborough United
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saya sudah bersedia beraksi bersama pasukan Malaysia. Itu reaksi pemain muda kacukan Malaysia-Jamaica Kobe Jae Chong yang kini menunggu panggilan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan kelak.

Arena Metro yang menghubungi pemain berkenaan memaklumkan bahawa dia sentiasa mengikuti perkembangan terkini pasukan kebangsaan dan saingan Liga Malaysia supaya dapat membiasakan diri apabila dipanggil mewakili negara.

Kobe yang beraksi bersama Peterborough United dalam Liga Kejuaraan divisyen dua England itu menanam azam untuk beraksi bersama skuad kebangsaan terutama membabitkan pasukan Bawah 23 tahun (B-23) yang akan bersaing di pusingan akhir Kelayakan Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan.

"Saya bersedia untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan kerana perkara itu menjadi impian untuk berbakti kepada Malaysia.

"Jika diikutkan perancangan asal akan datang menyertai latihan dua tahun lalu untuk pasukan bawah 19 namun disebabkan pandemik Covid-19 terpaksa melupakan hasrat itu.

"Namun, setakat ini, FAM belum lagi menghubungi saya untuk berbincang mengenai perkara itu (wakili Malaysia)," katanya.

Terdahulu, Pengendali Bawah B-23 Brad Maloney ternyata serius mahu membentuk skuad lebih mantap apabila ketika ini memantau sekurangnya 20 pemain beraksi di luar negara untuk diserap bagi menghadapi perlawanan pusingan akhir Piala Asia bawah B-23 di Uzbekistan.

Antara yang kemungkinan berada dalam senarai pengendali dari Australia itu adalah Kobe selain pemain Brighton & Hove Albion Jaami Qureshi.

Selain itu, turut berada dalam radar Maloney adalah seorang lagi pemain tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Kamal yang dilihat antara pilihan terbaik untuk diketengahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 10:44 PM