ARIF Aiman dikaitkan dengan perpindahan ke kelab luar negara terutama Liga Jepun dan Korea Selatan. FOTO Johor Southern Tigers
ARIF Aiman dikaitkan dengan perpindahan ke kelab luar negara terutama Liga Jepun dan Korea Selatan. FOTO Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pihaknya sehingga kini masih belum menerima mana-mana tawaran untuk mendapatkan bintang sensasi kelab itu, Arif Aiman Hanapi.

Jelas Tunku Ismail, JDT bukanlah sebuah 'penjara' yang tidak membenarkan pemainnya untuk berhijrah terutamanya ke luar negara.

Katanya, beliau tidak pernah menyekat kemahuan mana-mana pemain yang mahu keluar, namun ia mestilah melalui cara yang betul termasuk melihat kualiti liga yang mahu disertai dan pasukan yang ingin mengambilnya.

"Buat masa ini kami tidak ada terima mana-mana tawaran lagi, tetapi tanggungjawab saya sebagai pemilik kelab adalah sangat mudah, iaitu saya bertanggungjawab ke atas nilai komersial kelab dan juga kelab di dalam padang.

"Kalau siapa-siapa nak tawarkan bagi duit, yang mana kami boleh gunakan daripada pendapatan itu. Dan kelab bola sepak kami bukan 'penjara'.

"Siapa-siapa nak keluar dia boleh ke luar negara, tetapi ada juga saya ingin kongsi...tak semestinya main di luar negara, ia bergantung kepada kategori liga dan mereka beri jaminan untuk berada dalam kesebelasan utama ataupun mereka boleh tingkatkan (kualiti pemain)," katanya dalam temubual bersama Tunku Ismail yang disiarkan di laman Facebook JDT.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan minat beberapa kelab terutamanya dari Liga Jepun dan Korea Selatan yang mahu memancing khidmat Arif Aiman.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail berpandangan pemain yang beraksi di luar negara tidak semestinya seorang pemain yang bagus kerana tahap kualiti liga yang disertai di tahap rendah.

"Eropah bukan senang, Jepun dan Korea juga bukan senang. Kalau kita tengok Hadi Fayyadh, mula-mula pergi Yakult bawa...mana Hadi Fayyadh hari ini, main di Perak.

"Sama juga dengan Wan Zack Haiqal ataupun pertahanan kiri Nazirul Naim. Jadi tak semestinya semua yang main luar negara itu awak semua harus sanjung.

"Kualiti perlawanan juga penting,contoh kami main di ACL (LIga Juara-Juara Asia), lawan dengan pasukan 10 kali ganda baik daripada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 8:26 PM