SATHIANATHAN berkata JDT berada pada landasan terbaik untuk muncul juara. FOTO NSTP
SATHIANATHAN berkata JDT berada pada landasan terbaik untuk muncul juara. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) kini dalam laluan merintis sejarah agung apabila hanya selangkah untuk bergelar juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut sejak 2014 lalu.

Mengikut perkiraan matematik, skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan enam mata daripada empat baki aksi bagi mempertahankan trofi itu musim ini.

Walaupun Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilihat mampu meraih mata maksimum sehingga 49 mata dan 50 mata, namun tiga daripada empat lawan yang bakal ditempuh JDT boleh dianggap mudah sekiranya prestasi semasa diambil kira.

Petaling Jaya City FC, Sri Pahang FC dan Kuala Lumpur City FC adalah tiga lawan yang perlu dimanfaatkan sebaiknya anak buah Benjamin Mora untuk menuai mata penuh, selain Terengganu FC yang dijangka memberi tentangan sengit.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, JDT berada pada landasan terbaik untuk muncul juara.

"Kita boleh nampak kualiti yang ada pada JDT dan pasukan kelab jauh beza. Agak sukar untuk pasukan lain menggugat JDT dan kita boleh lihat jarak mata yang begitu jauh ketika ini," katanya.

Ketika ini, JDT berada di puncak Liga Super dengan 45 mata berbanding pencabar terdekat Terengganu FC di tangga kedua, 37 mata.

"Pencapaian JDT ini boleh dianggap luar biasa dan jarang berlaku di liga negara-negara luar juga. Ini sebenarnya menunjukkan bagaimana pengurusan yang efisien dan profesional bergerak dengan baik sekali.

"Memang mereka banyak duit dan semua boleh buat bila ada duit. Tapi kena ingat, kalau ada duit tapi tak bijak menguruskannya, tak guna juga.

"Di JDT mereka guna duit yang ada dengan baik dan diletakkan di tempat yang betul, sebab itu mereka mampu kekal bertahan dan menang liga sampai tujuh kali berturut-turut.

"Saya percaya mereka akan jadi juara lagi tahun ini dan cipta sejarah unik, bukan saja sejarah mereka tetapi sejarah bola sepak Malaysia dan juga mungkin di dunia," katanya.

Untuk rekod, terdapat beberapa kelab di dunia pernah menjuarai liga domestik lebih daripada tujuh kali berturut-turut termasuk kelab Juventus sebanyak sembilan kali dari 2012-2020 dan dianggap rekod terbaik di Eropah ketika ini.

Kelab Perancis iaitu Olympique Lyon juga pernah jadi juara sebanyak tujuh kali berturut-turut dari musim 2002- 2008, dan beberapa lagi kelab lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 4:47 PM