TUNKU Ismail berkata kejayaan sebuah kelab tidak datang secara tiba-tiba namun ia dibina. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
TUNKU Ismail berkata kejayaan sebuah kelab tidak datang secara tiba-tiba namun ia dibina. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa kejayaan pasukannya mencipta rekod `triple hattrick' memenangi Liga Super bukanlah dikecapi secara tiba-tiba atau bergolek.

Sebaliknya, kejayaan terbabit adalah daripada usaha gigih untuk memastikan kelab berpangkalan di selatan tanah air itu terus meraih kejayaan luar biasa di arena bola sepak tempatan dan antarabangsa.

"Kejayaan sebuah kelab tidak datang secara tiba-tiba namun ia dibina. Kami sayang, menghormati dan sanggup mati untuk satu sama lain.

"Kami bukan hanya kelab semata-mata namun adalah sebuah keluarga," tulis Tunku Ismail menerusi laman instagram miliknya.

JDT membuktikan mereka sememangnya sukar digugat oleh mana-mana pasukan lain apabila dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut sekali gus mencipta sejarah terunggul dalam arena bola sepak negara yang sukar dicabar pasukan lain.

Masih berbaki empat perlawanan Liga Super,skuad bimbingan Hector Bidoglio mencatat kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam aksi pada Sabtu, manakala pencabar terdekat Sabah FC tewas kepada Terengganu 0-2, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.

Kekalahan Sabah itu menamatkan perebutan takhta musim ini, apabila JDT yang mengumpul 46 mata daripada 18 perlawanan, tidak lagi mampu digugat skuad Sang Badak, yang mengutip 36 mata di tempat kedua dan hanya tinggal tiga perlawanan menuju penghujung musim.

Kejayaan menjuarai saingan musim 2022 juga, menyaksikan skuad Harimau Selatan berpeluang memperbaiki pencapaian mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim ini, apabila meraih tiket automatik ke kejohanan itu tahun hadapan.

JDT juga turut meluaskan kuasa di Liga Premier selepas pasukan 'adik' iaitu JDT II turut dinobatkan juara pada Jumaat lalu. Pada musim ini saja, JDT membuktikan mereka kuasa besar bola sepak negara apabila membolot 11 piala termasuklah di peringkat akar umbi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:37 PM