BARISAN pemain JDT menjalani latihan menjelang aksi menentang Pahang di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Johor Southern Tigers
BARISAN pemain JDT menjalani latihan menjelang aksi menentang Pahang di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengintai untuk meraih tiga mata yang dianggap begitu bernilai bagi memastikan kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut menjadi milik pasukan itu sekali gus melakar sejarah bola sepak Malaysia.

Tetapi dengan syarat skuad kendalian Benjamin Mora perlu menewaskan Sri Pahang FC pada di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

JDT kini gah di singgahsana selepas mengumpul 48 mata dan memerlukan satu lagi kemenangan untuk muncul juara dan melenyapkan cabaran Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berusaha memintas Harimau Selatan.

Walaupun dikhabarkan skuad kendalian Dollah Salleh tampak tempang selepas enam tonggak utamanya tidak diturunkan pada perlawanan itu, barisan pemain Mora tidak termakan dengan helah skuad Tok Gajah yang mungkin mencipta `perang psikologi' untuk berdepan JDT.

Apapun, pemburuan JDT itu perlu pengorbanan buat penjaring terbanyak pasukan itu, Bergson da Silva yang harus melupakan seketika pemburuan Kasut Emas tatkala sudah meledak 20 gol dan ketinggalan satu jaringan dengan pemain Selangor FC , Ifedayo Omosuyi.

Barisan tengah JDT juga perlu dimantapkan dan jika dinilai gandingan Safiq Rahim dan Leandro Velazquez mampu membentuk kolaborasi ampuh untuk menjana gerakan berbahaya sambil disokong sama ada Safawi Rasid di sayap kanan dan Gonzalo Cabrera di sayap kiri.

Apapun, skuad Harimau Selatan tidak boleh terlalu leka tatkala Sri Pahang FC mampu menjelmakan kejutan dengan kelibat pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo mungkin menjadi duri dalam daging pada perlawanan itu.

Benteng JDT juga harus tampil lebih gagah bagi mengelak gawang yang bakal dilkawal kapten Farizal Marlias tidak dibolosi dan pastinya taruhan itu terletak di bahu Mauricio dos Santos yang kemungkinan akan bergandingan bersama Adam Nor Azlin.

Namun tempoh 90 minit perlawanan ibarat pentas `final' buat JDT seandainya mengidam untuk menoktahkan lebih awal kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 12:48 PM