GRIEZMANN tonggak utama Barcelona. FOTO AFP
GRIEZMANN tonggak utama Barcelona. FOTO AFP
Agensi

Barcelona: Penyerang Barcelona, Antoine Griezmann diejek penyokongnya sendiri ketika menuju ke sesi latihan.

Penyerang antarabangsa Perancis itu diberitahu bahawa dia adalah punca Lionel Messi meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu.

Arena bola sepak dunia dikejutkan selepas pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak enam kali itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Nou Camp.

Presiden Barcelona, Joan Laporta berkata, kelab tidak mampu lagi menanggung gaji lumayan pemain berusia 34 tahun itu.

Beliau memberitahu tidak dapat meneruskan rundingan dengan Messi dan mengakui terkejut dengan keadaan kewangan kelab yang agak tenat.

Kini Griezmann yang bergaji £345,000 (RM2.02 juta) seminggu menjadi mangsa kemarahan penyokong.

Bekas bintang Ateltico Madrid menerima gangguan ketika memandu memasuki pusat latihan Barcelona.

Seorang penyokong didengar menjerit: "Messi pergi kerana anda."

PSG adalah kelab pilihan untuk mendapatkan tandatangan Messi yang menghabiskan masa selama 17 tahun di Barcelona.

Manchester City juga dikatakan berminat untuk mendapatkan bintang Argentina itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 9:28 PM