Penyerang Perancis dan Barcelona, Antoine Griezmann. FOTO AFP
Penyerang Perancis dan Barcelona, Antoine Griezmann. FOTO AFP
Agensi

Barcelona: Antoine Griezmann dilaporkan hanya berminat untuk kembali ke Atletico Madrid pada musim panas ini.

Presiden Barcelon, Joan Laporta mengesahkan pemain kebangsaan Perancis itu berada dalam senarai perpindahan, ketika gergasi Catalan mengatur semula kewangan mereka.

Pemain yang pernah memenangi Piala Dunia itu dikaitkan dengan kepulangan ke Atletico sebagai perjanjian pertukaran untuk Saul Niguez tetapi juara La Liga berkenaa tidak mencapai perjanjian persetujuan bersama skuad kendalian Ronald Koeman.

Menurut laporan Sport, Griezmann bersedia meninggalkan Camp Nou pada pasaran sekarang, tetapi penyerang itu hanya berminat dengan perpindahan ke Wanda Metropolitano.

Laporan turut mendakwa beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Serie A berminat mendapatkan khidmat pemain itu secara pinjaman pada kempen 2021-22 dengan pilihan pembelian tetap pada musim panas akan datang.

Pemain Perancis itu menjaringkan 133 gol dan menghasilkan 50 bantuan gol dalam 257 penampilan untuk Atletico antara 2014 dan 2019 sebelum menyertai Barcelona.

Griezmann bergelut mempamerkan prestasi terbaik di Camp Nou, menjaringkan 35 gol dan menghasilkan 17 bantuan gol pada 99 penampilan dalam semua kejohanan di kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 9:26 PM