PEMAIN TFC giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Sarawak United FC di Stadium UiTM Shah Alam malam esok. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN TFC giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Sarawak United FC di Stadium UiTM Shah Alam malam esok. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Aksi konsisten sepanjang 90 minit dituntut pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain apabila pasukannya bakal membuat perhitungan dengan Sarawak United FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, malam esok.

Pengendali muda yang semakin mencipta nama di pentas Liga Malaysia (Liga M) itu juga mengingatkan anak buahnya tidak melakukan kesilapan mudah sebaliknya kekal fokus dalam misi melangkah ke separuh akhir saingan Piala Malaysia.

Beliau juga gesa barisan penyerangnya perlu lebih tajam bagi memastikan TFC tidak kempunan walaupun kini berada di depan dengan kemenangan 2-1 menundukkan skuad Kenyalang Emas itu pada aksi suku akhir pertama Ahad lalu.

"Apa yang saya mahukan daripada pemain adalah kemenangan dan seterusnya layak ke peringkat separuh akhir walaupun sedar ia bukan tugas mudah lebih-lebih lagi kami hanya merakam kemenangan tipis di Terengganu Ahad lalu.

"Jadi kami harapkan pemain kekal fokus sepanjang 90 minit selain mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh membawa padah buat pasukan.

"Kami juga turut ingatkan pemain agar tidak hanya bertahan sebaliknya perlu memburu seberapa banyak gol bermula awal permainan hingga tamat aksi selain elak daripada dibolosi lawan yang sudah pasti hadir dengan taktikal berbeza," katanya.

Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Kelantan itu akui beliau tidak dapat menurunkan pemain pertahanan tengah yang juga kapten, Carli De Murga yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Katanya, nasib sama juga menimpa tiga lagi pemain iaitu tonggak kelahiran Bahrain, Habib Haroon di samping pemain pertahanan, Muhammad Mohd Fauzi dan pemain tengah, Sharin Sapien.

"Tempat De Murga sekali lagi bakal digalas pemain Terengganu FC II (TFC II), Argzim Redzovic, manakala Habib yang mengalami kecederaan pada bahagian buku lali ketika aksi suku akhir pertama masih lagi 50-50 sama ada boleh beraksi ataupun terpaksa direhatkan.

"Bagaimanapun saya tidak begitu bimbang kerana tiga tonggak skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat, Azam Azmi Murad dan Hakimi Abdullah bakal kembali memperkuatkan pasukan bertemu skuad itu.

"Pada masa sama saya turut mengharapkan 'pemain ke-12' dapat memenuhi stadium bagi menyuntik lagi semangat pemain beraksi pada perlawanan penting itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 5:07 PM