TOMMY yakin pasukannya akan bangkit cipta kemenangan apabila berdepan Penang FC, Isnin ini. FOTO Ihsan FB NSFC
TOMMY yakin pasukannya akan bangkit cipta kemenangan apabila berdepan Penang FC, Isnin ini. FOTO Ihsan FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jentera pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah bersedia untuk menyekat setiap serangan Penang FC menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Isnin ini.

Selepas dikecewakan Sri Pahang FC dengan kekalahan tipis 3-4 pada perlawanan terdahulu yang dikatakan berpunca daripada bahagian pertahanan, kini pemain skuad Hobin Jang Hobin berjanji untuk memastikan kesilapan itu tidak berulang.

Pemain pertahanan, Tommy Mawat Bada, menegaskan bahawa pasukannya sudah bersedia untuk mempamerkan aksi lebih mantap bagi mendapatkan kemenangan, meskipun Penang berhasrat mencuri mata daripada perlawanan itu nanti.

Katanya, dia dan rakan sepasukan sedar perlunya kemenangan dicipta di gelanggang sendiri tatkala saingan liga kian sengit dengan setiap pasukan berusaha mengelak kekalahan.

"Kami sudah lihat beberapa kelemahan yang menjadi punca tewas kepada Sri Pahang tempoh hari dan akan memastikan situasi itu tidak berulang lagi pada pertembungan dengan Penang, nanti.

"Kami akan menggandakan kekuatan dan memberikan persembahan terbaik untuk mendapatkan tiga mata," katanya di sini, hari ini.

Tommy yang boleh beraksi di posisi tengah, yakin semua pemain yang akan diberikan tugas mengalas cabaran pasukan sedar perlunya berjuang habis-habisan bagi mendapatkan kemenangan.

Menurutnya, fokus perlu diberikan sepanjang tempoh permainan termasuk ketika masa tambahan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Tumpuan kita untuk menyekat setiap serangan Penang dan mengawal gawang daripada bolos.

"Penang mempunyai ramai pemain berpengalaman yang tidak boleh dipandang rendah. Kami perlu berwaspada dengan gerakan dan corak persembahan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 4:25 PM