PEMAIN tengah JDT, Leandro Velazquez cuba melepasi kawalan Safawi Rasid pada sesi latihan di Stadium Sultan Ibrahim menjelang pertembungan menentang Sabah FC, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
PEMAIN tengah JDT, Leandro Velazquez cuba melepasi kawalan Safawi Rasid pada sesi latihan di Stadium Sultan Ibrahim menjelang pertembungan menentang Sabah FC, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak ingin mengekalkan momentum kemenangan apabila melayani kunjungan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Keinginan untuk kekal menang begitu menebal buat skuad kendalian Benjamin Mora selepas meraih empat kemenangan dan mengutip 12 mata untuk menghimpun 42 mata, hasil 13 kemenangan dan tiga keputusan seri dan pasti aksi menentang anak didik Kurniawan Dwi Yulianto memburu kemenangan kelima berturut-turut.

Apapun pengendali kelahiran Mexico itu tetap berhati-hati dengan corak taktikal skuad badak yang kini betada di tangga ketujuh tampak konsisten selepas aksi dua perlawanan lalu melakar keputusan seri ketika 0-0 menentang Terengganu FC 0-0 dan seri 1-1 menentang Kuala Lumpur FC.

Mora tidak menafikan betapa barisan pemainnya tampak keletihan selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat dan ia terbukti ketika menang tipis 1-0 ke atas Melaka United FC (MUFC), pemain JDT bagaikan bergelut mengharungi 90 minit perlawanan.

"Mereka begitu kepenatan pada aksi menentang Melaka United tapi mereka tetap beri persembahan terbaik untuk menang.

"Melayani kunjungan Sabah FC, kami tetap memburu tiga mata penuh dan menjadi keutamaan apabila turun beraksi, Kami enggan tercicir mata, walaupun kami pernah menang 4-1 pada aksi 6 April lalu tapi malam esok kami tetap berhati-hati" katanya.

Bagaimanapun, pemain JDT harus berwaspada dengan taktik permainan Sabah FC terutama Mohd Amri Yahyah yang bijak menggunakan helah sekiranya JDT meraih sepakan percuma di luar kofak penalti.

Seandainya JDT mencipta kemenangan ke atas Sabah, kejuaraan liga tampak semakin hampir menggamit pasukan itu tatkala saingan liga berbaki lima perlawanan lagi untuk menoktahkan kejuaraan musim kelapan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 2:01 PM