NAZROLEZWAN Makmor. -FOTO Nazri Abu Bakar
NAZROLEZWAN Makmor. -FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Penolong jurulatih Melaka United, Nazrolerwan Makmor menaruh keyakinan skuad terbabit mampu menampilkan aksi lebih baik pada aksi liga musim ini.

Bagaimanapun, dia jelas mahu pemain skuad terbabit segera memperagakan persembahan terbaik dalam saingan liga berikutan hanya mengumpul satu masa daripada dua perlawanan setakat ini.

Nazrolerwan berkata, paling dituntut barisan hadapan perlu bertindak dengan garang di muka gawang lawan kerana pasukan berkenaan masih ketandusan jaringan.

Katanya, buat setakat ini hanya satu gol daripada dua perlawanan belum memadai bagi memenuhi reputasi pasukan sekali gus perlu segera menterjemah aksi mantap susunan ketua jurulatih Risto Vidakovic.

Menurutnya, sememangnya skuad berkenaan memerlukan sedikit masa namun ia tidak boleh terlalu lama untuk membentuk keserasian kerana boleh menjejaskan kedudukan pasukan di carta liga.

"Pada keseluruhan saya amat yakin skuad ini mampu meledak menerusi kehadiran penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu, Olusegun Ifedayo, Soy Norde, Emmanuel Oti Essigba dan Adriano Narcizo untuk memecah kebuntuan jaringan.

"Justeru perlawanan berdepan Sabah pada 5 April di Stadium Hang Jebat boleh menjadi kayu pengukur pembentukan barisan penyerang dan persefahaman bahagian tengah dan pertahanan yang lebih meyakinkan," katanya.

Baginya, kemenangan amat dituntut dalam aksi terbabit walaupun menyedari lawan memiliki ramai pemain berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan namun ia bukan halangan untuk kutipan mata maksimum di laman sendiri.

Apapun, bekas pemain kebangsaan itu mahu anak buahnya bertindak agresif ketika berdepan PIB FC pada aksi Piala FA di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 2:28 PM