Ketua Pembangunan Bola Sepak Global Fifa, Arsene Wenger. FOTO Agensi
Ketua Pembangunan Bola Sepak Global Fifa, Arsene Wenger. FOTO Agensi
Agensi

London: Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya penalti ketika waktu tambahan yang menyaksikan England menang 2-1 mengatasi Denmark tidak seharusnya diberikan.

Harry Kane menjaringkan gol England pada minit ke-104 apabila sepakan penaltinya melantun semula selepas ditepis oleh penjaga gol Denmark Kasper Schmeichel.

Raheem Sterling diberikan sepakan penalti itu apabila dijatuhkan di sebelah kanan kotak penalti kerana diasak Joakim Maehle.

Sterling mendakwa selepas perlawanan bahawa ia adalah 'penalti yang jelas' namun Wenger - yang kini Ketua Pembangunan Bola Sepak Global Fifa - tidak bersetuju dan menegaskan VAR seharusnya memanggil pengadil Danny Makkelie untuk sekurang-kurangnya melihat kembali insiden itu.

"Tidak ada penalti. Pada saat seperti itu, saya tak faham kenapa mereka (VAR) tidak meminta pengadil untuk lihat kembali insiden itu untuk lebih jelas," kata Wenger.

"Pada saat penting seperti itu, adalah perlu untuk pengadil meyakinkan bahawa itu adalah penalti. Ia tidak cukup jelas untuk mengatakan 'ya itu'.

"Dia dia sekurang-kurangnya perlu melihat skrin. Saya tak tahu kenapa VAR tidak memintanya untuk melakukannya."

Bekas pengendali Arsenal berusia 71 itu bagaimanapun tidaklah sampai mengatakan VAR menyebabkan Denmark kecewa namun melabelkan mereka sebagai 'malang'.

"Saya rasa VAR yang patut membuatkan pengadil berasa kecewa bukan Denmark," kata Wenger.

"Denmark sedikit kecewa. Sukar tapi pengadil perlu melihatnya."

Ia adalah penalti yang ke-17 diberikan di Euro 2020 dengan sepakan Kane itu adalah yang kelapan tersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 12:46 PM