STERLING dijatuhkan dalam petak penalti oleh Maehle (kiri) sekali gus memberikan England sepakan penalti. FOTO EPA
STERLING dijatuhkan dalam petak penalti oleh Maehle (kiri) sekali gus memberikan England sepakan penalti. FOTO EPA
AFP

London: Raheem Sterling berkata, kekasaran yang dilakukan terhadapnya untuk memperoleh sepakan penalti sehingga membolehkan England meraih gol kemenangan ketika menang 2-1 ke atas Denmark di masa tambahan adalah keputusan tepat.

Penyerang Manchester City itu terjatuh selepas diasak Joakim Maehle ketika meluru masuk ke dalam kawasan penalti Denmark pada masa tambahan.

Sepakan penalti yang diambil Harry Kane berjaya diselamatkan Kasper Schmeichel namun ketua pasukan England itu berjaya melakukan tindakan susulan untuk membawa pasukannya mara ke perlawanan akhir berdepan Itali awal pagi Isnin.

"Saya masuk ke dalam petak penalti dan dia menghulurkan kaki kanan sebelum tersentuh kaki saya, jadi memang jelas sepakan penalti harus diberikan.

"Ia prestasi terbaik yang berjaya kami pamerkan selepas perlu bangkit apabila melepaskan gol pertama di kejohanan ini dan kami berjaya bersatu, menunjukkan semangat berpasukan untuk memenangi perlawanan ini.

"Ia memang sukar selepas ketinggalan tapi kami sedar harus bersabar, kami tahu kemampuan yang kami ada, tahap agresif dan kekuatan pasukan ini sendiri, ia cuma perlu mengambil masa sebelum menumpaskan mereka," katanya.

England mara ke perlawanan akhir pertama kejohanan utama sejak Piala Dunia 1966, dengan Sterling sekali lagi berjaya menjadi pemain paling menonjol dalam skuad Gareth Southgate di Wembley.

"Ia adalah satu lagi langkah menuju ke arah yang tepat. Bagaimanapun sebaik saja kami masuk ke bilik persalinan semuanya berakhir dan kami harus fokus untuk perlawanan hujung minggu ini, peringkat demi peringkat dan itu saja yang mampu kami lakukan," kata Sterling.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:40 AM