LAPORTE (kanan) berentap dengan pemain Switzerland, Steven Zuber. FOTO AFP
LAPORTE (kanan) berentap dengan pemain Switzerland, Steven Zuber. FOTO AFP
Agensi

London: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique mengagumi impak pemain baharu Aymeric Laporte dalam kempen Euro 2020.

Laporte satu-satunya pemain pertahanan yang beraksi setiap perlawanan dan bakal menjadi tonggak pada separuh akhir menentang Itali di London.

Pertahanan tengah Manchester City kelahiran Perancis itu hanya tampil dalam aksi pertamanya bulan lalu selepas mendapat kerakyatan Sepanyol pada Mei lalu.

Laporte yang berpindah ke Sepanyol ketika berusia 16 tahun menyarung jersi Perancis pada setiap kejohanan peringkat umur dan dua kali dipanggil menyertai skuad senior pada 2019 tetapi tidak pernah beraksi bersama Les Bleus.

Enrique dan Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) memantau Laporte sejak tiga tahun lalu walaupun pemain itu mendakwa ia di luar persoalan namun akhirnya berjaya mendapatkannya menjelang Euro 2020.

"Sebaik sahaja dia boleh beraksi untuk kami, dia memberikan impak besar," kata Luis Enrique ketika sidang media semalam. "Dia pertahanan berkelas dunia, kedua-duanya ketika bertahan dan menyerang.

"Kami perlukan penyerang untuk membawa bola keluar dan memberikannya kepada pemain tengah. Dia tangkas di udara, boleh menggunakan kedua-dua kaki, fizikalnya kuat dan cekap mengawal bahagiannya.

"Kami bangga dan berbesar hati apabila Aymeric membuat keputusan beraksi untuk Sepanyol."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 12:29 PM