PEMAIN pertahanan kelahiran Perancis yang kini mewakili Sepanyol, Aymeric Laporte berkongsi pandangan pada temu bual khas, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan kelahiran Perancis yang kini mewakili Sepanyol, Aymeric Laporte berkongsi pandangan pada temu bual khas, hari ini. FOTO AFP
AFP

Madrid: "Saya sedar kemungkinan itu, tetapi tidak mahu memikirkannya," kata Aymeric Laporte, mengenai kemungkinan Sepanyol menentang Perancis di Euro 2020.

Kedua-dua pasukan itu tidak akan bertemu sebelum suku akhir, dan Perancis yang juga juara dunia bermula garang apabila mengatasi Jerman 1-0 pada perlawanan pembukaan.

Manakala Sepanyol pula perlu bekerja keras apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sweden pada aksi pembukaan dan akan bertemu Poland pada Sabtu ini.

Bagi Laporte, pertemuan dengan bekas pasukannya itu mungkin akan menyebabkan dia tidak selesa terutama apabila menukar kerakyatan Perancis kepada Sepanyol, tindakan yang dipercepatkan oleh Kementerian Sukan Sepanyol, bulan lalu.

Tiga minggu kemudian, pemain pertahanan berusia 27 tahun itu membuat kemunculan sulung untuk Sepanyol pada aksi persahabatan bertemu Portugal sebelum muncul kali kedua pada aksi pembukaan Euro 2020 di Seville, Isnin lalu dan Sepanyol belum dibolosi sejak dia beraksi.

"Saya mengenali beberapa pemain setakat ini dan bermain menentang sebahagian besar mereka," kata Laporte dalam temu bual eksklusif bersama AFP.

"Mereka semuanya baik, gemar bertegur sapa menerusi pesanan. Saya berasa sangat selesa."

Laporte yang lahir di Agen di selatan Perancis, hanya memberitahu ahli keluarga mengenai keputusan menukar kerakyatan pada saat akhir, walaupun peluang itu asalnya hadir pada 2014, iaitu dia hanya kurang setahun daripada syarat Fifa yang memerlukan lima tahun bermastautin untuk layak mewakili Sepanyol.

"Saya tidak cukup setahun untuk menjadi rakyat Sepanyol," kata Laporte. "Jadi, objektif utama saya ketika itu adalah Perancis. Tapi ia tidak mustahil dan kini sudah terjadi."

Laporte sebelum ini mewakili skuad remaja Perancis, tetapi dinafikan tempat dalam skuad senior oleh jurulatih, Didier Deschamps.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 2:50 AM