ROBERTO Martinez. FOTO AFP
ROBERTO Martinez. FOTO AFP
Agensi

Brussels: Ketua Eksekutif Persekutuan Bolasepak Belgium berkata Roberto Martinez akan kekal sebagai jurulatih walaupun Belgium gagal di Euro 2020.

Kekalahan 1-2 kepada Itali pada suku akhir di Munich memusnahkan harapan Red Devils untuk menjadi juara Eropah.

Belgium bermula garang di kejohanan itu dengan harapan menggunung untuk menjuarai kejohanan utama pertama sebagai pasukan nombor satu dunia.

Namun mereka sekali lagi gagal di bawah kendalian Martinez tetapi CEO Peter Bossaert berkata pengendali dari Sepanyol itu tetap mendapat sokongan penuh FA Belgium dan dia tidak menjangkakan pengurus berusia 47 tahun itu akan melepaskan jawatannya.

Ketika ditanya sama ada Martinez akan kekal, dia berkata: "Ya. Dia mempunyai kontrak sehingga tamat Piala Dunia di Qatar tahun depan.

"Kami sudah pun kembali bersama semalam untuk aksi antarabangsa pada September dan final Liga Negara-Negara. Saya tak takut dia pergi. Dia akan kekal.''

Bossaert tidak berasakan Euro 2020 peluang terakhir skuad generasi emas Belgium untuk menjuarai kejohanan utama.

"Saya lebih positif mengenai peluang meraih kejayaan di kejohanan besar. Mereka terlepas Kejohanan Eropah tetapi final Liga Negara-Negara berlangsung pada Oktober diikuti Piala Dunia dalam masa 16 bulan lagi.

"Ramai pemain utama kami masih agak muda. [Kevin] De Bruyne dan Eden Hazard berusia 30 tahun, [Romelu] Lukaku 28, [Yannick] Carrasco 27, [Youri] Tielemans 24, dan ramai lagi.

"Mereka boleh bermain lama lagi dan generasi ini masih ada peluang.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:41 AM