BARISAN pemain England ketika meraikan kejayaan menewaskan Ukraine selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
BARISAN pemain England ketika meraikan kejayaan menewaskan Ukraine selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
Agensi

London: England hanya pasukan pilihan kedua yang berpeluang memenangi Euro 2020, menurut super komputer.

Three Lions akan bertemu Denmark di Wembley pada aksi separuh akhir awal pagi Khamis selepas membenam Ukraine 4-0 di suku akhir.

Di sebalik aksi cemerlang di Rom, England bukan pilihan untuk menjulang trofi berprestij itu.

Sebaliknya, Itali kini menjadi pilihan utama selepas menewaskan Belgium pada aksi suku akhir, demikian angka yang diperolehi daripada Stats Perform.

Skuad bimbingan Roberto Mancini mempamerkan aksi meyakinkan sejak awal saingan selepas membelasah Turki 3-0.

Itali kemudian menewaskan Switzerland 3-0 selepas mengatasi Wales 1-0 untuk menjuarai peringkat kumpulan dengan sembilan mata maksimum.

Mereka melakar kemenangan 2-1 ke atas Austria pada pusingan kedua dan jaringan sama ketika menewaskan Belgium di suku akhir.

Rekod cemerlang Itali menyaksikan super komputer meramalkan pasukan itu akan memperoleh 39.8 peratus peluang untuk memenangi kejohanan berkenaan.

England menduduki tempat kedua dengan 29.4 peratus manakala Sepanyol ketiga apabila memperoleh 22.4 peratus peluang untuk menjulang trofi Euro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 10:00 PM