PEMAIN tengah Denmark, Cristian Eriksen (kanan) mengalami serangan jantung pada perlawanan pertama menentang Finland di Copenhagen. FOTO AFP
PEMAIN tengah Denmark, Cristian Eriksen (kanan) mengalami serangan jantung pada perlawanan pertama menentang Finland di Copenhagen. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen, yang dalam proses pemulihan selepas serangan jantung pada aksi pembukaan pasukannya di Euro 2020, dijemput ke perlawanan akhir Ahad ini oleh Presiden Uefa, Aleksander Ceferin.

Denmark akan bertemu England di separuh akhir di Wembley, esok selepas mara kali pertama ke separuh akhir kejohanan utama sejak pencapaian mengejutkan menjuarai Euro 1992.

Eriksen dan pasangannya dijemput secara peribadi oleh presiden, kata jurucakap Uefa kepada AFP.

"Kami tidak tahu sama ada mereka akan datang atau memilih untuk berehat," kata jurucakap itu.

Denmark mengharungi kejohanan ini dengan penuh emosi selepas Eriksen rebah di padang dan dirawat ketika perlawanan pembukaan di Copenhagen pada 12 Jun.

Pemain perancang Inter Milan berusia 29 tahun itu kemudian dirawat selama beberapa hari di hospital dan dipasang alat bantuan jantung untuk mengawasi rentak jantungnya.

Pada ketika kemungkinan Eriksen kembali beraksi masih samar, dia menyokong pasukannya dari rumah.

Anak buah Kasper Hjulmand bangkit daripada dua kekalahan awal di peringkat kumpulan dengan menewaskan Republik Czech 2-1 pada aksi suku akhir di Baku, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 12:27 AM