AKSI Liga Super membabitkan JDT dan KL City FC sebelum ini. FOTO Bernama
AKSI Liga Super membabitkan JDT dan KL City FC sebelum ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah saingan Liga Malaysia (Liga-M) akan ditangguhkan?

Itu persoalan yang timbul selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri dan mukim bagi membendung penularan Covid-19 yang cukup membimbangkan ketika ini.

Antara negeri yang berada dalam kawasan PKPD adalah Selangor dan Kuala Lumpur yang menyaksikan sekurang-kurangnya empat pasukan Liga-M berpengkalan di Lembah Klang iaitu Selangor FC, UiTM FC, Petaling Jaya City (PJ City) dan Kuala Lumpur City (KL City).

Malah, difahamkan kemungkinan beberapa negeri lagi turut akan diumumkan sebagai kawasan PKPD.

Lantas, ia menimbulkan persoalan mengenai nasib perjalanan Liga-M seperti Liga Super dan Liga Perdana musim ini, di mana sudah tentu pasukan yang berada di kawasan PKPD tidak dibenarkan menjalani latihan ekoran larangan aktiviti sukan.

Berdasarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebarang aktiviti sosial, ekonomi mahupun sukan tidak dibenarkan.

Walaupun kebanyakan pasukan ketika ini berlatih dengan menggunakan konsep 'Camp Based Training', adakah bentuk latihan sama turut dibenarkan dalam tempoh PKPD ini yang akan berlangsung selama dua minggu bermula semalam hingga 16 Julai ini.

Jika tidak dibenarkan sudah tentu ia memberi kesan kepada persiapan pasukan yang dijadual menyambung aksi liga pada 24 Julai ini bagi saingan Liga Super, iaitu kira-kira lapan hari selepas PKPD berakhir 16 Julai nanti.

Itupun sekiranya PKPD tidak dilanjutkan, namun seandainya ia dilanjutkan, mahu tidak mahu aksi Liga Malaysia pastinya dirombak lagi oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bagaimanapun, beberapa pasukan yang dihubungi meletakkan sepenuh kepercayaan kepada MFL untuk menyelesaikan perkara terbabit dan berharap Liga-M dapat diteruskan mengikut jadual yang sudah dirangka.

"Kita yakin MFL sedang berusaha bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) serta MKN untuk menyelesaikan sekaligus liga dapat diadakan walaupun dalam suasana PKPD.

"Apapun kita serahkan kepada MFL selaku badan pengelola liga tempatan," kata sumber yang juga pengurusan kelab Liga-M.

Ketika ini kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) memimpin carta Liga Super selepas 13 aksi dan saingan itu akan disambung hujung bulan ini.

Liga-M terpaksa berehat hampir dua bulan kerana memberi laluan kepada kempen skuad Harimau Malaya di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini serta saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang sedang berlangsung ketika ini.

JDT adalah wakil negara di saingan ACL manakala satu lagi kejohanan iaitu Piala AFC pula disertai Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:34 PM