WAJAH sugul pemain Perancis ketika meninggalkan National Arena di Bucharest selepas tewas kepada Switzerland, semalam. FOTO AFP
WAJAH sugul pemain Perancis ketika meninggalkan National Arena di Bucharest selepas tewas kepada Switzerland, semalam. FOTO AFP
AFP

Bucharest: Euro 2020 sepatutnya menjadi medan terbaik buat Kylian Mbappe mempamerkan kehebatan dan peluang Perancis muncul juara dunia dan Eropah, namun kempen mereka berakhir dengan kekecewaan di pusingan kedua, semalam.

Selepas terikat 3-3 dengan Switzerland sehingga masa tambahan, mereka tewas menerusi penentuan sepakan penalti apabila Mbappe gagal menyempurnakan sepakannya, menyaksikan Perancis muncul juara dunia pertama gagal mara ke suku akhir Euro sejak Itali tidak layak ke kejohanan itu pada 1984.

Kehadiran semula penyerang, Karim Benzema memperkuatkan pasukan yang muncul juara dunia tiga tahun lalu itu, tetapi anak buah Didier Deschamps gagal mengulangi kecemerlangan lalu itu.

Persoalan timbul apabila Perancis yang memiliki rangkaian pemain serangan berbakat, tetapi gagal menewaskan Hungary dan Switzerland, dengan taktik Deschamps, kemarau gol Mbappe dan pertahanan goyah menjadi tumpuan utama.

"Memang sukar untuk melupakan perkara seperti ini," kata Mbappe di media sosial. "Memang amat sedih apabila tersingkir sebegini."

Tetapi Perancis dan Mbappe perlu cepat melupakan kekalahan itu dan memastikan kesilapan di Bucharest itu tidak berulang di Piala Dunia 2022 di Qatar.

Sekalipun turun sebagai pasukan pilihan di Euro 2020, mereka tersingkir di pusingan kedua dan tugas mempertahankan Piala Dunia akan menjelma dalam tempoh 17 bulan lagi.

Mbappe menyerlah di peringkat antarabangsa di Russia pada 2018 apabila menjaringkan empat gol dan muncul pemain remaja pertama menjaringkan gol di perlawanan akhir Piala Dunia selepas Pele, 60 tahun lalu.

Tetapi, dia melalui detik mengecewakan di Kejuaraan Eropah, apabila jaringannya dibatalkan sebelum penjaga gol Switzerland, Yann Sommer menyelamatkan sepakan penalti terakhir Perancis.

"Saya minta maaf gagal menyempurnakan sepakan penalti itu. Saya mahu menolong pasukan, tetapi gagal," kata penyerang berusia 22 tahun itu.

"Memang tidak lena tidur kerana kegagalan itu, tetapi sudah pasti itu adalah antara risiko perlu dihadapi dalam sukan saya cintai ini."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 9:52 PM