PENYERANG Denmark, Yussuf Poulsen (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan pusingan kedua Euro 2020 menentang Wales, esok. FOTO EPA
PENYERANG Denmark, Yussuf Poulsen (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan pusingan kedua Euro 2020 menentang Wales, esok. FOTO EPA
AFP

Amsterdam: Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand berkata, dia mengharapkan hubungan kukuh antara Ajax dan bola sepak Denmark memberi kelebihan apabila bertemu Wales di pusingan kedua Euro 2020 di Amsterdam, esok.

Denmark mara ke pusingan kalah mati selepas mengatasi trauma serangan jantung dialami Christian Eriksen yang rebah di padang ketika perlawanan pembukaan dengan Finland dan mengubahkan menjadi cerita indah pada kejohanan itu.

"Kami berada di Johan Cruyff Arena dan jika ada kelab yang memberi makna kepada bola sepak Denmark, ia adalah Ajax," kata Hjulmand menjelang perlawanan esok.

Tiga pemain Denmark menunjukkan bakat mereka bersama kelab gergasi Belanda itu, terutama Eriksen yang menyertainya ketika berusia 16 tahun pada 2008 sebelum berhijrah ke Tottenham Hotspur, lima tahun kemudian.

"Ajax membantu membangun dan meningkatkan pemain Denmark, jadi sudah tentu ada hubungan kukuh antara Ajax dan Denmark.

"Falsafah dimiliki mereka di sebalik bola sepak amat saya hormati."

"Kami merasai sokongan kuat. Kami tahu ramai orang datang ke Amsterdam untuk menyokong kami dan semua sokongan itu akan kami ubah serta terjemahkan menjadi perlawanan terbaik," katanya.

Wales mengejutkan ramai apabila melangkah ke separuh akhir Euro 2016, tetapi Denmark memenangi kedua-dua perlawanan Liga Negara antara dua pasukan itu, tiga tahun lalu.

"Saya hormati Wales dan apa yang mereka lakukan sejak beberapa tahun lalu memang bagus. Mereka mengingatkan kami kepada diri sendiri, bangga mewakili negara dan semua orang menyokong mereka," kata Hjulmand.

"Sebab itu, saya menjangkakan perlawanan esok bakal seimbang. Seperti kami, Wales turut memiliki ramai pemain berkualiti.

"Kami memiliki skuad yang kuat dan boleh menentang siapa saja. Tidak kira siapa lawan, kami yakin mampu menang."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 2:01 AM