Pemain pertahanan Real Madrid dan Sepanyol, Sergio Ramos. FOTO AFP
Pemain pertahanan Real Madrid dan Sepanyol, Sergio Ramos. FOTO AFP
Agensi

Paris: Paris Saint-Germain berada di kedudukan utama untuk menandatangani Sergio Ramos selepas kelab itu dilaporkan berhubung dengan wakil pemain pertahanan berkenaan awal minggu ini.

Selepas 16 tahun pemain yang memenangi pelbagai trofi sepanjang karier di Real Madrid, Ramos menjadi pemain bebas hujung bulan ini, dengan pertahanan itu gagal mencapai persetujuan mengenai kontrak lanjutan bersama kelab gergasi Sepanyol berkenaan.

Berita membabitkan dia meninggalkan kelab itu mengejutkan seluruh Eropah ketika beberapa kelab turut menyatakan minat menandatangani pertahanan veteran tetapi PSG dilaporkan antara yang terawal berhubung dengan pemain terbabit.

Menurut Goal, pada dasarnya perbincangan sudah dijalankan mengenai potensi perpindahan pemain itu ke Parc des Princes di mana kehadirannya dilihat mampu membentuk gandingan mantap di barisan pertahanan tengah bersama pemain Brazil, Marquinhos.

Laporan turut menyatakan pasukan Ramos turut mengintai peluang dengan beberapa kelab seluruh Eropah, ketika terdapat dua kelab dari England dan satu kelab Itali yang menunjukkan minat.

Namun dilaporkan Ramos memilih untuk berkelana ke ibu kota Perancis, bagaimanapun tawaran rasmi belum diperoleh dari PSG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:53 PM