BALE (dua kiri) sedang menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
BALE (dua kiri) sedang menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Agensi

Baku: Lima tahun selepas mempamer aksi cemerlang mara sehingga ke separuh akhir kejohanan Eropah, Wales memulakan kempen Euro 2020 apabila bakal bertemu Switzerland di Baku, esok.

Kedua-dua pasukan bersemangat mahu sekurang-kurangnya melepasi pusingan kalah mati pertama namun Kumpulan A boleh dikatakan paling kompetitif.

Hanya enam pemain Wales yang beraksi pada edisi Euro sebelum ini masih kekal membarisi pasukan namun Gareth Bale, Aaron Ramsey, Joe Allen dan rakan-rakan mereka tidak lagi mempunyai tahap yang sama.

Bagaimanapun Wales masih lagi kekal kompetitif apabila membuktikannya di kempen kelayakan dengan tidak tewas kesemua lima perlawanan dan menamatkan saingan di tangga kedua di belakang Croatia.

Wales bakal bersaing di kedudukan kedua bersama Switzerland dan Turki di belakang pasukan pilihan Kumpulan A, Itali yang sedang berada pada tahap terbaik.

Kehilangan khidmat pengurus, Ryan Giggs yang sedang berdepan kes mahkamah menyaksikan pengendali sementara, Rob Page perlu memastikan barisan pemainnya kekal kompetitif.

Wales tidak kerap layak ke kejohanan utama namun sekiranya layak, mereka mampu memberi impak yang besar termasuklah mara ke suku akhir Piala Dunia 1958 dan separuh akhir Euro 2016.

Berbeza pula dengan Switzerland yang tersingkir pada peringkat kumpulan tiga kali sebelum tersingkir di pusingan 16 terakhir kepada Poland lima tahun lalu.

Switzerland pastinya mengharapkan dapat meraih penamat paling terbaik pada kempen kali ini selepas mempamer aksi meyakinkan sejak akhir-akhir ini.

Mereka sudah menang enam perlawanan berturut-turut dan seri 1-1 dengan Sepanyol menjelang aksi Euro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 8:56 AM