SWITZERLAND dikecewakan Itali pada perlawanan terakhir. FOTO AFP
SWITZERLAND dikecewakan Itali pada perlawanan terakhir. FOTO AFP
Agensi

Baku: Kegagalan untuk melakar kemenangan pada dua perlawanan sebelum ini menyaksikan pertemuan dengan Turki pada aksi terakhir Kumpulan A tengah malam esok cukup penting untuk Switzerland.

Untuk meraih tiket ke pusingan kalah mati, tiga mata penting kini amat diperlukan oleh Switzerland.

Selepas tersingkir di peringkat kumpulan tiga kali sebelum mara ke pusingan 16 terakhir lima tahun lalu, Switzerland berada pada situasi bahaya di saingan benua Eropah itu selepas memulakan kempen dengan aksi hambar.

Menduduki ranking ke-13 dunia, Switzerland memenangi kesemua enam perlawanan menjelang kempen Euro namun kini hanya mampu mengutip satu mata daripada dua perlawanan.

Selepas sekadar seri dengan Wales dan kemudian tewas 0-3 di tangan Itali di Rom, Switzerland kini hanya melakar kemenangan sebanyak dua kali daripada 15 perlawanan di pentas Euro.

Pada aksi di Stadio Olimpico Rabu lalu, Switzerland dilihat mampu memberi cabaran kepada Itali.

Berikutan kekalahan itu, jurulatih Vladimir Petkovic berkata, nasib kini bukan lagi terletak di tangan mereka namun Switzerland masih mempunyai harapan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Untuk memenuhi impian itu, Switzerland pastinya mengharapkan Wales tewas kepada Azzurri dengan mereka melakar kemenangan ke atas Turki serta memperoleh jumlah jaringan lebih baik berbanding Wales.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 12:38 PM